Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mendakwa, tindakan akhbar tempatan mendedahkan kelemahan Pulau Pinang menunjukkan seolah-olah mereka 'mempunyai agenda' sendiri di negeri tersebut.

"Jika tidak, saya mencabar mereka supaya mendedahkan kelemahan yang sama yang dihadapi oleh negeri lain juga. Jangan hanya `serang' Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui tujuan pendedahan akhbar tersebut yang menurutnya boleh menimbulkan tanggapan perbuatan itu seperti 'baling batu sembunyi tangan' dan 'ada agendanya tertentu'.

"Sebenarnya, ini bukan pertama kali pihak akhbar melaporkan perkara sedemikian kerana perkara yang sama juga pernah dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas siri laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk "Sayangi Pulau Pinang" yang memfokuskan kepada masalah khususnya kebersihan, pengangkutan dan perumahan di negeri tersebut.

Menurut Jahara lagi, pihak media memang gemar mendedahkan kelemahan orang kerana ia boleh melariskan jualan

"Kalau di Pulau Pinang ada masalah, apakah negeri-negeri lain tidak ada masalah. Jadi kita hendak media membuat pendedahan yang serupa di negeri lain," katanya.

Kurang sensitif

Jika tidak, katanya, laporan yang ditumpukan hanya kepada sesebuah negeri sahaja menunjukkan bahawa media terbabit mempunyai "agendanya tersendiri" di negeri tersebut.

Beliau berkata, masalah di Pulau Pinang sebenarnya sudah lama berlaku "tetapi kita juga perlu mengambilkira pertambahan penduduk dan juga segi pembangunan perindustrian dan perdagangan.

"Bila sudah ramai maka timbul banyak masalah, dan rakyat kurang sensitif terhadap sesuatu masalah di Pulau Pinang, terutamanya masalah kebersihanan, pengangkutan dan perumahan," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Pulau Pinang yang dilihat maju dari segi perdagangan dan perindustrian, sebenarnya masih dibelenggu pelbagai masalah, terutama kebersihan, pengangkutan dan perumahan.

Apatah lagi, kanya, kerajaan negeri pimpinan Gerakan dilihat lambat menyelesaikan masalah di kawasan luar bandar di mana majoritinya orang Melayu.

Menurutnya, cabaran dalam industri perdagangan dan perindustrian ada kaitan dengan semakin berkuraangannya tanah yang boleh digunakan untuk kegunaan sektor tersebut.

"Kita meminta kerajaan negeri pimpinan Gerakan bijak menyusun pelan pembangunan supaya pelbagai masalah yang melanda dapat diatasi dengan tidak mengabaikan kepentingan mana-mana kaum di negeri ini," katanya lagi.

Berperangai lama

Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Mohamad Abdul Raof pula berkata, sikap menuding tangan di antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya menimbulkan perbalahan sesama sendiri.

"Masalah Pulau Pinang ialah mengenai kebersihan yang tiada hujung pangkalnya. Rakyat negeri ini tidak mempunyai kesedaran tentang kebersihan.

"Kalau mengharapkan kerajaan semata-mata tetapi rakyat masih berperangai lama, sampah akan terus kelihatan di negeri ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menegur bahawa Pulau Pinang sangat kotor sehingga tidak layak untuk didiami.

Ketua Pemuda Gerakan, Huan Tew Kwan berkata, kerajaan Pulau Pinang sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat negeri tersebut dan mendakwa kelemahan yang ada adalah kecil.

Katanya, kelemahan seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan sejak kebelakangan ini berlaku di mana-mana negeri lain juga.

Tanggungjawab bersama

"Sudah berlaku banyak peningkatan di Pulau Pinang dalam semua aspek dan rakyat perlu memberi peluang untuk kerajaan negeri membaikinya ke tahap terbaik," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya rakyat perlu juga memberi kerjasama sepenuhnya kerana jika mengharapkan kerajaan negeri semata-mata ia tidak akan berjaya.

Manakala Ketua Wanita gerakan Pulau Pinang, Ng Soo Lai pula menjelaskan kerajaan negeri mengadakan Strategi 1 dan 2 untuk memastikan tahap kebersihan Pulau Pinang berada pada kedudukan yang terbaik.

Katanya, bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak, pijak berkuasa tempatan, swasta dan rakyat sendiri.

"Tidak semua kawasan di Pulau Pinang kotor seperti yang didedahkan dalam media massa. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri menyedari tanggungjawabnya.

"Cuma rakyat perlukan kerjasama dan kerajaan mempertingkatkan usaha menjaga kebersihan. Beberapa tempat yang dulunya kotor seperti Juru kini sudah bersih," ujarnya.