Setelah sembilan minggu, hari ini merupakan hari penentu untuk mengetahui siapakah yang akan bergelar juara Gegar Vaganza musim kedua.
Rancangan terbitan Astro itu menyaksikan enam peserta iaitu Acong (Sweetchild), Siti Nordiana, Ezad Lazim, Nassier Wahab, Haiza dan Faradhiya yang akan berentap pada konsert final di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada jam 9 malam ini.
Nama penyanyi era 90-an Siti Nordiana juga merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai juara Konsert Gegar Vaganza 2.
Ia berikutan prestasinya dalam program tersebut yang sering mendapat pujian daripada juri iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Namun bagi lima peserta lain tidak kurang hebatnya. Ini kerana kesemua peserta yang layak ke konsert akhir mempunyai pengalaman serta kelebihan yang tersendiri.
Enam peserta akhir akan bersaing menerusi lagu pilihan serta acara ‘battle’ bagi menentukan siapakah yang layak bergelar juara Konsert Gegar Vaganza 2 sekali gus melayakkan mereka membawa pulang RM100,000 serta sebuah lagu baru.
Program ini akan disiarkan secara langsung melalui Astro RIa dan Ria HD.
