Penggabungan dua parti politik kaum Kadazandusun-Murut di Sabah Upko dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kini menunggu penyelesaian urusan berhubung senarai kepimpinan di peringkat bahagian dan negeri, kata Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing.

Katanya, seboleh mungkin 'semua pihak yang terbabit akan mendapat tempat masing-masing'.

Bumburing berkata, beliau percaya penggabungan itu akan dimuktamadkan awal tahun depan.

"Pada masa ini, kami menganjurkan program bersama, termasuk majlis sambutan Krismas pada hari Sabtu di Kota Kinabalu," katanya kepada malaysiakini.

Bumburing dan Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup mempunyai pendapat berbeza menenai jumlah jawatan timbalan presiden dalam gabungan tersebut.

Bumburing mahu diwujudkan dua jawatan timbalan presiden, manakala Kurup pula berpendapat satu sudah memadai.

Upko diketuai Tan Sri Bernard Dompok, bekas Ketua Menteri dan sekarang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Parti tersebut mempunyai sembilan wakil rakyat empat ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

PBRS pula mempunyai dua wakil rakyat seorang ahli Parlimen dan seorang Adun.

Pengaruh PBS

Pemerhati politik menyifatkan gabungan tersebut sebagai satu usaha bersama kedua-dua parti tersebut untuk berdepan dengan pengaruh kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dianggotai oleh majoriti masyarakat beragama Kristian.

PBS memerintah Sabah hampir sedekad semasa menjadi parti pembangkang di Sabah, sebelum menyertai semula Barisan Nasional (BN).

Pemimpin Upko dan PBRS dikatakan tidak rapat dengan PBS yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Sejak menyertai semula BN, PBS telah menjalin hubungan rapat dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Aman yang juga pengerusi Umno Sabah serta bekas Ketua Menteri, Datuk Chong Kah Kiat dari Parti Liberal Demokratik (LDP).

Kerjasama rapat dalam kepimpinan mereka, dilihat telah 'meminggirkan' pengaruh parti-parti komponan lain dalam BN Sabah,'

Para pemimpin Upko dan PBRS juga pernah terbabit dalam pergolakan politik Sabah pada pertengahan 1980-an, menentang Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Salleh, sehingga parti pimpinannya, Berjaya, tewas di tangan PBS pimpinan Pairin.

Sebahagian besar pemimpin Upko dan PBRS juga merupakan bekas pemimpin PBS yang meninggal parti itu pada awal tahun 1990-an, manakala yang lainnya menyertai Umno.

--------------------------------------------------------------------------------

TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak