Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua MP DAP Sarawak didakwa kerana sertai Bersih 4
Diterbitkan:  Dec 14, 2015 5:23 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Dua anggota parlimen DAP Sarawak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyertai perhimpunan Bersih 4 di Kuching Ogos lalu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang juga anggota parlimen Bandar Kuching dan anggota parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping didakwa menyertai perhimpunan itu dari hadapan Hotel Hilton Kuching di Jalan Borneo hingga ke padang Song Kheng Hai di sini.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama beberapa orang yang masih bebas antara pukul 2 hingga 3 petang, 29 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimun RM10,000, jika disabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Hakim Amelati Parnell menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 14 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan pendengaran kes pada 3 dan 4 Mac depan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad, Muhammad Taufik Md Yusuf dan Poh Yih Tinn manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chong Siew Chiang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS