Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chua: Kerjasama Umno-PAS jejas parti komponen bukan Islam BN
Diterbitkan:  Dec 15, 2015 10:27 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Kerjasama Umno-PAS akan memberi masalah kepada parti-parti komponen bukan Islam dalam BN, dan berpotensi meminggirkan mereka dari arus politik perdana, kata bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum pada 2013, kata Chua, Umno dan PAS secara bersama mempunyai 109 daripada 222 kerusi Parlimen di Malaysia, dan juga 326 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Katanya, jika dua parti itu bekerjasama, ia pastinya akan menyebabkan perubahan yang menarik dalam masyarakat dan persekitaran politik, dengan perubahan dan konflik dalam setiap bidang.

Dalam senario ini, tegas Chua, parti-parti komponen bukan Islam dalam BN, termasuk MCA dan Gerakan, akan berdepan dengan cabaran yang serius.

Jika Umno dan PAS berjaya bekerjasama, katanya, ini bermakna pemimpin Islam akan menguasai kuasa politik, terutamanya di negeri-negeri di Malaysia Barat dan kerajaan persekutuan.

Bagi parti-parti komponen bukan Islam dalam BN, mereka hanya akan tinggal di pinggir arus politik perdana, kata Chua dalam blognya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Disember lalu, di mana perdana menteri juga menawarkan untuk memupuk hubungan yang lebih rapat dengan PAS.

PAS telah melarang ahli-ahlinya daripada mengulas mengenai tawaran Najib itu. Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz menyambut baik tawaran Najib, tetapi menegaskan bahawa PAS akan kekal sebagai parti pembangkang di peringkat persekutuan.

'Baik untuk DAP'

Sementara itu, Chua berkata, senario politik semasa memihak kepada DAP, terutamanya selepas parti itu memutuskan hubungan dengan PAS.

Beliau berkata, DAP kini mempunyai peluang dan alasan yang baik untuk menyerang MCA dan parti-parti komponen bukan Islam dalam BN yang lain.

"DAP kini boleh mencabar MCA dan parti-parti komponen BN yang lain untuk menentang undang-undang jenayah syariah, malah mencabar mereka untuk memutuskan hubungan dengan Umno," katanya.

PAS telah memperbaharui usahanya ke arah pelaksanaan hudud, di Kelantan. Ini membawa kepada perbalahan antara DAP dan PAS, dan akhirnya pembubaran Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Chua meragui bahawa Umno akan pergi sejauh sehingga membolehkan hudud dilaksanakan di peringkat persekutuan, kerana ia sedar bahawa ini akan memberi kesan yang serius terhadap masyarakat Malaysia.

Selain itu, katanya, akan ada tindak balas yang kuat dari Sabah dan Sarawak terhadap hudud, maka adalah mustahil bagi kerajaan persekutuan untuk melaksanakan hudud.

Umno dan BN, kata Chua, tidak boleh mengabaikan potensi tindak balas dari Sabah dan Sarawak itu.

Menurutnya, perdana menteri sedang bekerja keras melaksanakan Program Transformasi Ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Oleh itu, katanya, Najib tidak akan mengorbankan matlamat tersebut, dan tidak akan membenarkan mana-mana tindakan politik menjejaskannya.

Perdana menteri, tambahnya, mahu menjadikan matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi sebagai 'legasi politik' beliau untuk rakyat Malaysia, supaya mereka selama-lamanya akan ingat sumbangan beliau kepada negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS