Ahli akademik tampil sokong Azmi Sharom di mahkamah
Dua orang ahli akademik memakai jubah akademik mereka di mahkamah di Kuala Lumpur hari ini - hari pertama perbicaraan kes hasutan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom.
Mereka ialah Pengerusi Gerakan Akademik Malaysia (MOVE), Prof Wan Manan Wan Muda dan ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya, (PKAUM), Lai Suat Yan.
"Kami melakukan ini untuk menegakkan kebebasan akademik," kata Lai ketika ditemui di dalam Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Duta.
Azmi didakwa menghasut berikutan pandangannya mengenai krisis perlembagaan Perak yang telah diterbitkan oleh Malay Mail Online.
Dalam satu kenyataan Wan Manan berkata perbicaraan kes Azmi Sharom merupakan satu serangan serius terhadap kebebasan akademik dan juga pencabulan Unesco Recommendation 1997 mengenai status kakitangan pengajar pendidikan tinggi.
Katanya, selain kebebasan bersuara, berpersatuan dan gerakan, Perkara 26 Unesco Recommendation juga memberikan hak kepada ahli akademik untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan untuk menyatakan pandangan mereka terhadap dasar-dasar negara.
Kebebasan akademik, tegasnya, bertujuan untuk melindungi perbezaan pendapat dan adalah penting kepada penemuan, interpretasi dan penyampaian ilmu pengetahuan.
Sehubungan itu, Wan Manan menggesa semua ahli akademik Malaysia untuk bersama-sama menegakkan kebebasan akademik dan autonomi.
Puisi khusus untuk Azmi
Sebuah puisi yang didedikasikan khusus untuk Azmi dijangka dideklamasikan kemudian di luar mahkamah. Azmi telah mencabar tuduhan hasutan terhadapnya sehingga ke mahkamah tertinggi.
Puisi bertajuk 'Sarjana dan Kesarjanaan', ditulis oleh Profesor Emeritus USM yang juga Sasterawan Negara Datuk Muhammad Salleh.
Ahli akademik lain yang hadir menyokong Azmi termasuk setiausaha agung MOVE, Rosli H Mahat dan Aham Farouk Musa. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Wan Manan berkata Putrajaya mempunyai sebab untuk merasa takut kerana kes hasutan terhadap Azmi Sharom telah menjadi inspirasi kepada ahli akademik lain untuk bangkit.
"Sekarang mereka terpaksa merasa bimbang dan takut reaksi kami terhadap tekanan dan penindasan ke atas kami," kata pengerusi MOVE itu
Wan Manan berkata demikian selepas hari pertama perbicaraan terhadap pensyarah undang-undang itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. [ Baca berita penuh]

