Dakwaan tahanan ISA 'dipukul': Polis tunggu laporan doktor
Pihak polis sedang menunggu laporan perubatan mengenai aduan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mendakwa mereka dipukul awal bulan ini di Kem Tahanan Kamunting di Perak.
Pihak polis sedang menunggu laporan perubatan mengenai aduan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mendakwa mereka dipukul awal bulan ini di Kem Tahanan Kamunting di Perak.
Seorang pegawai penyiasat di Balai Polis Taiping berkata pihaknya sudahpun mengambil kenyataan daripada tahanan terbabit serta kakitangan keselamatan pusat tersebut.
"Kami sudah pergi ke Kamunting beberapa kali. Kami sedang menunggu laporan perubatan daripada doktor yang merawat kecederaan tahanan terbabit," katanya kepada malaysiakini .
Pegawai tersebut yang tidak mahu namanya disebut, berkata pihaknya tidak pasti bila laporan perubatan itu akan diterima serta tidak ada tempoh tertentu yang ditetapkan untuk pihak polis menyiapkan siasatannya.
Menurutnya, kakitangan keselamatan pusat tahanan tersebut yang disoal oleh pihak polis, menafikan yang mereka telah memukul tahanan terbabit.
"Mereka mengadakan pemeriksaan mengejut dan berlaku pergelutan tetapi menafikan mereka memukul tahanan dengan kasar," kata pegawai tersebut.
Kecederaan
Tahanan-tahanan terbabit, ketika disoal, mengadu mengenai kecederaan yang mereka alami.
"Kami tidak melihat sebarang kecederaan yang jelas, tetapi mereka mengadu kesakitan. Jadi, kami perlu menunggu laporan perubatan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Taiping, ASP Mohd Amin Abdullah tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasannya mengenai perkara tersebut.
Sekurang-kurangnya enam laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, serta tindakan tidak membenarkan tahanan-tahanan terbabit mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang mereka alami.
Laporan polis terbaru dibuat Sabtu lalu oleh isteri tahanan Mat Sah Mohd Satray Norlaila Othman selepas beliau melawat suaminya.
Menurutnya, beliau terkejut apabila mendapat tahu yang suaminya telah dipukul kerana nama Mat Sah tidak dikenalpasti sebagai salah daripada tahanan yang terbabit dalam kejadian itu.
Ketika dihubungi, Norlaila berkata, suaminya telah mengadu kesakitan akibat kecederaan yang dialaminya Khamis lalu dan dia telah dihantar untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Taiping.
"Doktor memberitahunya yang pemeriksaan x-ray menunjukkan tulang rusuk kirinya retak. Foto x-ray tersebut telah dihantar ke unit ortopedik untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
"Saya bimbangkan keadaan suami saya dan tahanan-tahanan ISA yang lain, Bagaimana hendak kami pastikan yang hidup mereka tidak terancam," tambahnya.
Dakwaan dipukul
Sekumpulan 12 orang tahanan di Kem tersebut mendakwa telah dipukul sewaktu 'pemeriksaan mengejut' dilakukan pada 8 Dis lalu. Pada hari berikutnya, lapan tahanan lagi membuat dakwaan yang sama.
Mereka mendakwa digari dan dipukul oleh kakitangan keselamatan pusat tahanan itu dengan baton dan perisau. Mereka juga mendakwa rambut dan janggut mereka dicukur.
Bagaimanapun, menurut Kementerian Dalam Negeri, kejadian itu berlaku apabila tahanan terbabit menghalang kira-kira 70 kakitangan keselamatan melakukan pemeriksaan mengejut di mana 'senjata' telah ditemui. Selepas itu, tahanan dikatakan telah bertindak balas.
Pesuruhjaya Suhakam, Prof Hamdan Adnan dan Datuk N Siva Subramaniam yang melawat kem tersebut selepas kejadian itu, berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan polis sebelum memutuskan sama ada suruhanjaya itu akan menyiasat kejadian tersebut.

