Respon masyarakat nelayan di Permatang Damar Laut, di selatan pulau Pulau Pinang, terhadap projek penambakan di kawasan itu adalah positif, kata ADUN PKR Batu Maung, Abdul Malik Kassim.

Selain itu, katanya, kerja penambakan di pulau itu 'bukanlah perkara baru' kepada masyarakat nelayan kerana mereka telah mengalami aktiviti tersebut sejak berdekad lalu.

Abdul Malik yang juga ahli exco kerajaan negeri Pulau Pinang memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Georgetown hari ini.

Beliau memberi contoh kerja penambakan di Jelutong, apabila Lebuhraya Tun Lim Chong Eu dibina dan di Tanjung Tokong di mana aktiviti itu sedang dijalankan.

Abdul Malik berkata, beliau telah bertemu dengan dua pertiga (120) daripada nelayan yang terjejas dengan projek penambakan di kawasan pilihanraya beliau, untuk mendengar masalah mereka dan menjelaskan perkara itu kepada mereka.

Proses perundingan, katanya, telah bermula dengan pihak nelayan - pertama oleh kerajaan negeri termasuk ADUN dan kemudian oleh syarikat konsesi, SRS Consortium (rakan penyampaian projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang).

Respon mereka, kata Malek, adalah positif selepas pihak menjelaskan mengenai projek itu kepada masyarakat berkenaan, terutama apabila mereka mendengar bahawa akan ada peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan mereka.

Malek berkata pihaknya akan memastikan hak-hak mereka dilindungi, termasuk melindungi mereka daripada penempatan semula dan kehilangan mata pencarian.

Beliau mengulas laporan dalam media mengenai protes terhadap projek penambakan oleh 1,500 nelayan dari Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Peserta bantahan itu mendesak kerajaan Pulau Pinang mengkaji semula projek penambakan yang dicadangkan, dengan berkata ia akan memberi kesan kepada kehidupan mereka serta kehidupan marin di kawasan itu.

Sehubungan itu, Malik berkata, maklumat yang diperolehi mendapati hanya 200 hingga 300 daripada peserta protes itu adalah nelayan dan tidak 1,500 seperti yang didakwa oleh media.

Katanya, mereka menandatangani petisyen itu dan membawa sepanduk menentang penambakan tetapi Malik berkata ia sesuatu yang natural dan biasa bagi mereka lakukan.

Tetapi, katanya, apabila mereka mendengar penerangan dan penjelasan pihaknya, mereka akan tahu bahawa ia akan memberi manfaat kepada mereka kerana Pelan Induk Pengangkutan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada mereka tetapi juga generasi mereka yang akan datang.

Malik berkata apabila SRS menjalankan penilaian terperinci kesan alam sekitar, kebimbangan nelayan berkenaan akan didengar dan dipertimbangkan.

Masyarakat nelayan menganggap projek itu sebagai 'positif', katanya, kerana terdapat aktiviti ekonomi seperti teksi air dalam Pelan Induk Pengangkutan di mana mereka boleh mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang adalah satu usaha oleh kerajaan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion untuk menangani masalah besar lalulintas dan pengangkutan di pulau itu.

[Baca berita penuh]