Dua guru wanita M'sia dicalon anugerah guru global
Dua guru wanita tempatan berpeluang membawa pulang US$1 juta (RM4.3 juta) selepas disenaraikan antara 50 guru dari seluruh dunia untuk Anugerah Guru Global 2016 anjuran yayasan berpangkalan di Dubai, Yayasan Varkey GEMS.
Noorjahan Sultan dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di Kuantan, Pahang dan K. Vanesri Kasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Khalidi, Muar, Johor, telah disenarai pendek daripada 8,000 penyertaan dari 150 buah negara.
Noorjahan, 44, yang merupakan guru pra-sekolah menyifatkan pencalonan itu sebagai sumbangannya dalam membantu dunia pendidikan.
Berpengalaman mengajar selama 22 tahun, Noorjahan mencipta modul pembelajaran bahasa Inggeris yang menghiburkan iaitu 'Let's Rhyme' dengan menggunakan teknik huruf dan puisi bertujuan membiasakan diri murid-murid sekolah rendah kepada bahasa itu.
"Melalui cara yang menghiburkan itu, saya percaya murid-murid akan hilang rasa takut atau trauma dengan bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui pemberita di ibunegara hari ini.
Katanya modul yang diilhamkan pada 2009 itu mengandungi 40 tema berdasarkan sukatan kurikulum pra-sekolah kebangsaan dan kini digunakan di lebih 1,000 pra-sekolah seluruh negara.
Noorjahan adalah salah seorang pelatih guru pra-sekolah kebangsaan dan turut terlibat dalam proses penambahbaikan kurikulum pra-sekolah.
Selain tercalon dalam Anugerah Guru Global 2016, Noorjahan merupakan salah seorang finalis Anugerah Inovasi Negara 2014 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sementara itu, K Vanesri, 25, yang berpengalaman selama dua tahun mengajar di kelas pemulihan, pula menggunakan modul terapi melalui aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membantu kanak-kanak bermasalah dalam pembelajaran.
K Vanesri mencipta sebuah aplikasi 'Socrative' yang boleh dimuat turun oleh guru-guru bagi membantu mereka mengajar murid-murid di kelas pemulihan.
"Walaupun pada mulanya sangat sukar mengajar murid-murid pemulihan menggunakan ICT, saya berjaya memindahkan 14 murid dari kelas pemulihan ke aliran utama dalam tempoh lapan bulan," katanya.
Anugerah yang dianggap sebagai 'Hadiah Nobel' bagi golongan pendidik itu, merupakan pencalonan kedua dari Malaysia selepas seorang guru fizik, Yasmin Noorul Amin, 38, tersenarai dalam 50 guru untuk anugerah tersebut bagi 2015.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata kejayaan dua guru itu membuktikan bahawa guru di negara ini bertaraf antarabangsa.
"Ini satu kejayaan amat membanggakan bagi Kementerian Pendidikan dan ia pengiktirafan kepada hampir 430,000 guru di Malaysia. Pencalonan dua guru itu juga menunjukkan guru-guru kita bertaraf antarabangsa," katanya.
Pada Februari 2016, kesemua 50 calon akan disenarai pendek kepada 10 finalis dan pada Mac, pemenang Anugerah Guru Global 2016 akan diumumkan dalam satu majlis di Dubai.
- Bernama

