Menteri: UiTM bukti orang muda masih sokong k'jaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah bukti bahawa kerajaan masih mendapat sokongan dari orang muda di negara ini.
Menteri dari Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika mengucap tahniah kepada bekas pemimpin pelajar UiTM, yang menurutnya bukan setakat membantu rakan pelajar tetapi juga membantu kerajaan.
"Kenapa saya kata (mereka) membantu kerajaan? Pada sesi ini (kumpulan pro-kerajaan) Pro-Aspirasi juga menguasai UiTM (dalam pilihan raya kampus baru-baru ini)," katanya.
Kerajaan, katanya, amat berpuas hati kerana ia mungkin pertama kali keseluruhan universiti awam di seluruh negara dikuasai oleh Pro-Aspirasi.
"Kalau ada yang mengatakan bahawa kumpulan pelajar menolak kerajaan sepenuhnya, UiTM memberi satu isyarat yang jelas bahawa orang muda masih lagi bersama-sama dengan kerajaan," katanya.
Ismail, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam dengan Majlis Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM di Shah Alam malam tadi.
Dalam pilihan raya kampus universiti awam bagi penggal 2015/2016, kumpulan Pro-Aspirasi menang di universiti utama - Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sementara itu, Ismail yang menteri mentor UiTM, berharap para pelajar universiti itu menjadi yang paling kuat menyokong kerajaan.
"Kerana inilah dasar terbaik yang dihasilkan oleh kerajaan sejak dari zaman (bekas Perdana Menteri) Tun Abdul Razak (Hussein) dengan menubuhkan satu institusi khusus untuk pelajar Melayu.
"Sebagai pelajar UiTM, seharusnya kita memberi sokongan kepada pihak kerajaan kerana institusi ini dibangunkan untuk membangunkan bumiputera," katanya.

