Malaysia menyuarakan keraguannya terhadap dakwaan negara jirannya, Thailand yang pihaknya mempunyai gambar-gambar bagi membuktikan militan Islam Thai mendapat latihan di Kelantan.

"Bukan mudah untuk membuktikan sesuatu melalui gambar. Sukar untuk membuktikan gambar itu dirakam di Malaysia, atau di mana-mana tempat di dunia. Ia juga boleh dirakam di Thailand," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telahpun menafikan dakwaan bahawa puak pemisah Thai mendapat latihan di Malaysia.

"Adalah lebih baik jika kerajaan Thai dapat berkomunikasi secara rasmi melalui saluran-saluran sepatutnya," katanya kepada AFP.

Semalam, kerajaan Thai mendakwa mempunyai gambar yang membuktikan wujudnya tempat latihan tersebut di Kelantan. Negeri itu bersempadan dengan selatan Thailand di mana pihak pejuang pemisah negara itu telah membunuh leibh 560 orang tahun ini.

Latihan bersenjata

Timbalan Menteri Dalam Negeri Thai, Sutham Sangprathum memberitahu pihak media semalam bahawa laporan perisikan negara itu mendakwa anggota militan Islam itu menjalani latihan bersenjata dan lebih 10 ahli pentingnya berada di Kelantan.

Beliau mendakwa pihaknya mempunyai gambar mengenai tempat latihan tersebut di Kelantan dan bersedia menyerahkannya kepada Malaysia jika diminta berbuat demikian.

Sutham bagaimanapun, tidak menyatakan berapa ramai anggota militan yang sedang bersembunyi di kawasan sempadan, tetapi mahu Malaysia menangkap dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Thailand.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra berkata sekumpulan anggota pemisah negara itu mendapat latihan di Malaysia, tanpa pengetahuan dan sokongan kerajaan negara ini.

Rakan sejawatannya, Abdullah bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Thaksin itu.

Menurut laporan The Star Ahad lalu, Abdullah berkata, Malaysia bukanlah pangkalan untuk digunakan oleh mana-mana kumpulan bagi merancang ancaman terhadap mana-mana negara.