Suasana luar pejabat MIC tegang, 200 penyokong berkumpul
Suasana di luar ibu pejabat MIC hari ini dilaporkan tegang dengan kira-kira 200 orang berkumpul di sana sejak tengahari tadi.
Mereka adalah penyokong Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan juga ahli-ahli parti yang setia kepada bekas presiden Datuk Seri G Palanivel.
Walaupun menunggu lama, perbincangan yang diadakan oleh kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang kata putus berhubung cara pemilihan yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Perbincangan yang tamat pada jam 5 petang tadi berakhir dengan kedua-dua kumpulan penyokong Palanivel dan Subramaniam masing-masing tidak berpuas hati dan melontarkan cemuhan terhadap satu sama lain.
Ketika sidang media diadakan, penyokong dari kedua-dua pihak berkata ‘tunda pemilihan’ berulang kali.
Berikutan itu, kedua-dua kumpulan penyokong bermesyuarat sekali lagi.
Subramaniam dan Palanivel tidak hadir dalam mesyuarat hari ini. Kedua-dua mereka dipercayai berada di luar negara.
Sepanjang mesyuarat berlangsung, kelihatan dua trak polis dan anggota keselamatan mengawal kawasan sekitar bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Walaupun keadaan kecoh, setkat ini tidak ada sebarang tangkapan yang dibuat.

