Konvensyen khas PAS: Pemimpin gembira, tetapi perwakilan masih sangsi
Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan munaqashah atau konvensyen khas PAS yang berlangsung hujung minggu lalu sebagai 'yang terbaik' yang pernah diadakan.
Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan munaqashah atau konvensyen khas PAS yang berlangsung hujung minggu lalu sebagai 'yang terbaik' yang pernah diadakan.
"Ianya serius, terbuka dan kritikal. Perwakilan mengemukakan banyak pandangan yang berfaedah kepada parti jika dilaksanakan dengan betul," katanya.
Pandangan Mustapa turut dikongsi bersama oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang juga ketua penerangan parti tersebut.
Katanya, spekulasi bahawa konvensyen itu akan menjadi 'panas' di mana kepimpinan parti menjadi sasaran perwakilan, seperti dalam muktamar PAS sebelum ini, tidak menjadi kenyataan.
"Tiada kata-kata kasar. Semuanya disampaikan dalam nada diplomatik. Kami menghargai setiap nasihat yang diberikan. Saya puashati dengan perjalanan majlis tersebut dan hasil-hasil yang kita dapati," tambah beliau.
Menurutnya, semua pandangan yang disampaikan selama dua hari itu, telah
dirakamkan dan diserahkan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan di peringkat negeri dan pusat, untuk dikaji.
"Saya yakin semua ini akan membawa hasil untuk kita menentukan strategi dan halatuju parti," katanya ketika dihubungi.
Perwakilan kurang yakin
Bagaimanapun, sesetengah perwakilan masih sangsi sama ada isu-isu yang dibangkitkan dalam konvensyen tersebut akan diberi perhatian sewajarnya oleh pucuk pimpinan.
"Malah, kesetiaan saya kepada parti sekalipun, masih gagal untuk menghilangkan rasa bahawa semua isu-isu yang dibangkitkan di munaqashah itu, akan dilupai begitu sahaja," kata seorang perwakilan dari Selangor.
"Perwakilan membangkitkan masalah-masalah utama serta menawarkan cara terbaik untuk menyelesaikannya. Sesetengahnya pula, secara sopan, meminta pemimpin tertentu meletakkan jawatan. Apakah mereka akan memberi perhatian kepadanya? Saya harap begitulah, tetapi kesangsian itu masih ada," tambahnya.
Menurut seorang lagi perwakilan, isu utama yang dibangkitkan ialah mengenai kegagalan Koperasi Al-Hilal koperasi yang ditubuhkan untuk ahli-ahli parti PAS yang kerugian RM65 juta.
"Kerugian besar itu hanya sebahagian daripada alasan mengapa isu tersebut dibangkitkan. Yang lebih penting lagi ialah pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan koperasi tersebut, terlepas begitu sahaja.
"Sehingga ini, pemimpin yang bertanggungjawab dalam pengurusan koperasi tersebut, telah gagal bertindak secara bertanggungjawab. Lebih teruk lagi, pihak parti juga mengelak membincangkan perkara tersebut. Seolah-oleh wujud ketidaktelusan dalam perkara ini," tambahnya.
Katanya, masalah tersebut sudah terlalu lama berlarutan tetapi ahli-ahli parti diberitahu supaya jangan membincangkannya secara terbuka untuk mengelak publisiti negatif.
"Lebih malang lagi, orang yang mengetuai lembaga pengarah koperasi tersebut ketika itu, kini memegang jawatan penting (dalam parti)," katanya.
Perlukan pembaharuan
Seorang lagi perwakilan dari Selangor berkata para perwakilan membangkit isu tersebut dalam usaha untuk membawa pembaharuan di dalam parti.
"Perkara utama ialah pembaharuan. Untuk melakukannya, kita mesti bersihkan barisan kepimpinanan kita. Pemimpin yang mempunyai rekod buruk, mesti diganti kerana mereka memberi imej buruk kepada parti.
"Dalam proses pembaharuan ini, para pemimpin mesti sensitif dan sedar terhadap kehendak orang ramai. Jika tidak, parti akan ketinggalan dan menjadi tidak relevan," tambahnya.
Bagaimanapun, seorang perwakilan dari Lembah Kelang pula berkata, kritikan yang dilemparkan itu tidak cukup kuat untuk membuahkan sebarang tindakan konkrit kerana isu tersebut dibangkitkan "secara umum".
"Tiada nama (pemimpin) yang disebut. Saya faham mereka tidak mahu memalukan sesiapa secara terbuka. Tetapi mereka patut tahu, kenyataan umum seperti itu akan memudahkan mereka yang terbabit, mengelak diri," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, seorang perwakilan dari Perlis berkata walaupun tiada nama disebut, tetapi para perwakilan boleh meneka siapakah yang dimaksudkan itu.
"Seperti dalam isu koperasi. Kami semua siapakah yang dimaksudkan oleh para perwakilan. Oleh kerana, perkara itu tidak dikendalikan dengan baik, pemimpin tersebut dapat mengelak daripada tanggungjawab tersebut. Dia tahu kepimpinannya sedang dipersoalkan, tetapi dia enggan mengaku kesalahannya," tambahnya.
Katanya, adalah cukup jelas bahawa ahli-ahli mahu pemimpin tersebut meletakkan jawatan.
"Beliau mesti meletakkan jawatan. Itu sahajalah cara untuk mengendalikannya. Jika beliau tidak mengendahkan kritikan tersebut dan tidak meletakkan jawatan, apakah pemimpin tertinggi parti akan mengambil langkah seperlunya untuk menggantikan beliau?" soalnya.
Manakala seorang perwakilan dari Selangor pula berkata pemimpin yang sama, turut dikritik oleh bekas ahli jawatankuasa pusat kerana menyebabkan berlakunya perpecahan dalam parti apabila beliau mengambil keputusan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
"Pemimpin ini tidak mengendahkan keputusan Majlis Syura supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan. Sebaliknya beliau meletakkan karier politiknya mengatasi kepentingan parti dan bertanding (jawatan tersebut).
"Turut dibangkitkan ialah perbuatan tidak menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila pemimpin tertinggi mengumumkan kesediaan parti untuk bekerjasama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ada pula yang membuat kenyataan mencabarnya," tambah perwakilan itu lagi.
Tindakan akan diambil
Dalam reaksinya terhadap perkara tersebut, Dr Haron memberi jaminan kepada ahli-ahli parti bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam konvensyen tersebut.
"Kesemua Isu-isu yang dibangkitkan yang dilihat memberi kesan negatif kepada parti, akan dikaji dengan teliti dan kami akan memutuskan tindakan-tindakan yang perlu diambil. Kami akan menangani semua perkara tersebut secepat mungkin.
"Tentunya kami akan mengambil tindakan...jika tidak usaha kita menganjurkan munaqashah tersebut akan menjadi sia-sia," katanya.
Bagaimanapun, seorang pemimpin Pemuda PAS berkata ahli parti tidak boleh terlalu mengharapkan akan berlakunya sebarang perubahan dalam barisan kepimpinan parti, walaupun perkara tersebut dibangkitkan dalam konvensyen tersebut.
"Tradisi PAS sudah begitu sebati dengan parti tersebut. Para pemimpin tidak mahu mengoncang parti. Mereka tidak mahu melukakan hati rakan-rakan. Tetapi mereka patut sedar apa yang mereka lakukan itu menjejaskan masa depan parti," tambahnya.

