Doktor dari Puchong hasilkan filem Kollywood
Filem Kollywood yang amat dinanti-nantikan, 'Tharkappu', yang antara lain, memberi tumpuan kepada konflik dalaman antara pegawai polis dan kepentingan dalam melindungi masyarakat, bakal ditayangkan di layar perak hujung bulan ini.
Produser filem Dr S Selva Muthu berkata filem itu memaparkan akibat daripada pembunuhan dengan beberapa insiden sebenar turut diselitkan ke dalam jalan cerita.
"Filem ini berbeza daripada perjalanan cerita dalam filem polis lain yang lazimnya berkisarkan tentang konflik antara polis dan penjenayah," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran filem itu di Kuala Lumpur Golf and Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara semalam.
Doktor berusia 50 tahun yang berpejabat di Puchong itu berkata menghasilkan filem Tamil merupakan minat yang tertanam di jiwanya sejak kecil dan beliau berharap filem itu akan turut ditayangkan di 150 pawagam di India.
Filem berdurasi 126 minit itu akan menyaksikan buat julung kalinya kerjasama perniagaan pelanggan Astro Indian dengan TGV Cinemas dan KINETOSCOPE Productions dalam menayangkannya di kesemua pawagam di seluruh negara.
Sementara itu, Pengurus Besar TGV Pictures Chung Shyh Kwong berkata filem 'Thakappu' (Pertahanan) adalah filem Kollywod pertama diedarkan TGV Pictures, sayap pengedaran filem di bawah TGV Cinemas, yang merupakan sebuah daripada pemilik serta pengusaha multipleks terbesar di Malaysia.
Filem arahan R P Ravi itu antara lain dibintangi Shakti dan Samuthirakani, kedua-duanya selaku teraju utama.
- Bernama

