Bekas pekerja ladang pasang papan tanda protes
Sekumpulan bekas pekerja ladang Golden Hope Plantations Bhd berikar akan terus berjuang menuntut pampasan sewajarnya selepas mereka diberhentikan kerja enam tahun lalu.
Sekumpulan bekas pekerja ladang Golden Hope Plantations Bhd berikar akan terus berjuang menuntut pampasan sewajarnya selepas mereka diberhentikan kerja enam tahun lalu.
Hujung minggu lalu, kumpulan seramai 30 bekas pekerja terbabit, telah memasang papan tanda di jalan utama di kawasan tersebut, yang menyenaraikan tuntutan kepada bekas majikan mereka.
Mereka menuntut skim perumahan yang dijanjikan kepada mereka, pampasan RM1,000 bagi setiap perkhidmatan dan mendapat kemudahan asas kehidupan.
Kebanyakan mereka bekerja di Ladang Victoria milik syarikat tersebut, dekat Kulim di Kedah selama berpuluh-puluh tahun lalu dan sesetengahnya mula bekerja sejak 1960-an.
Pada tahun 1980-an, pihak majikan berjanji untuk melaksanakan skim perumahan untuk memboleh pekerja memiliki rumah sendiri, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.
Selepas ladang itu ditanam semula, Ladang Victoria telah memberhentikan pekerjanya secara berperingkat antara bulan Mei 1998 hingga 1999. Mereka juga diarahkan mengosongkan kediaman mereka, manakala kadar pampasan yang dibayar juga tidak seperti yang diharapkan.
Golden Hope mahu membayar pampasan kepada pekerja pada kadar 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Sejak diberhentikan kerja, kebanyakan bekas pekerja masih tinggil di kediaman sementara di Ladang Victoria dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan pihak syarikat akan mengarahkan mereka mengosongkannya.
Rumah kekal
Seorang pekerja terbabit, S Subramaniam, 54, berkata, mereka menuntut supaya disediakan rumah kekal kerana ianya merupakan sebahagian daripada faedah yang telah dijanjikan kepada mereka.
"Kami mahu rumah kos rendah untuk keluarga kami dan sebidang tanah untuk menanam sayur-sayuran bagi keperluan kami," katanya ketika dihubungi.
"Tiga generasi keluarga kami telah bekerja di ladang ini tetapi kami tidak diberi pampasan sewajarnya. Adakah munasabah untuk membayar pampasan RM2,000 kepada mereka yang sudah bekerja selama 20 tahun?" soalnya.
Subramaniam, yang kini bekerja sebagai penoreh getah berkata, mereka risau terhadap masa depan anak-anak jika mereka tidak mendapat pampasan sepatutnya.
Bekas pekerja tersebut sudah berulang kali gagal dalam usaha mereka untuk berdialog dengan Golden Hope dan usaha meminta Kerajaan Kedah campurtangan menyelesaikan perkara tersebut.
Kerana kecewa, mereka mengambil keputusan untuk memasang papan tanda tersebut. Wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir di majlis tersebut, sebagai tanda sokongan mereka.
Langkah seterusnya
Penyelaras pertubuhan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Choo Chon Kai menyifatkan majlis pemasangan papan tanda tersebut sebagai satu 'majlis yang amat bermakna'.
"Majlis ini cukup bermakna kerana ia bererti pekerja terlibat mengambil langkah seterusnya dalam memperjuangkan hak-hak mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bekas pekerja yang terlibat belum lagi membuat keputusan untuk merujuk kes mereka ke mahkamah perindustrian atau mahkamah buruh.
Pegawai-pegawai Golden Hope di pejabatnya di Padang Serai dan Kuala Ketil enggan mengulas perkara tersebut.
Awal tahun ini, Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang menggesa kerajaan supaya menutup sektor perladangan jika ia gagal melindungi pekerja ladang dan menyediakan mereka gaji dan kehidupan yang lebih baik.

