Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mendedahkan bahawa beliau melabur di bidang hartanah "sepanjang masa" khususnya jika mempunyai wang tunai.
Justeru, katanya, beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa kenyataan seorang peguam defendan, semalam bahawa NFC adalah satu-satunya sumber pendapatannya adalah tidak betul.
"Saya labur dalam hartanah setiap kali saya boleh selepas kembali. Itu cara saya dapat pendapatan tambahan," katanya ketika disoal balas hari ini.
Salleh berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dari peguam Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli, Razlan Hadri Zulkifli yang menyoal mengapa beliau dan anaknya Wan Shahinur Izran Salleh memohon pinjaman untuk membeli hartanah di KL Eco City di bawah nama masing-masing dan bukannya di bawah nama NFC.
Secara berseloroh dalam reaksi segeranya kepada soalan itu, katanya, "Jika saya beli di bawah nama NFCorp, anak guam awak akan mempunyai cerita yang lebih besar."
