Lebih 5 jam bincang, Ibu Pejabat MIC ditadbir dua kumpulan
Ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur hari ini menyaksikan suasana tegang dengan perbalahan antara penyokong Presiden, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pengikut setia bekas Presidennya, Datuk Seri G Palanivel.
Terdahulu, penyokong Palanivel mengepung ibu pejabat parti itu dalam usaha merampas bangunan tersebut daripada pentadbiran Subramaniam.
Berikutan itu, wakil dari kedua-dua kumpulan itu berbincang lebih lima jam dengan puluhan anggota polis berkawal di luar bangunan.
Hasil rundingan itu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah apabila ibu pejabat parti itu akan diurus dua pentadbiran berasingan sehingga krisis itu diselesaikan.
Ini termasuk, urusan pentadbiran bagi cawangan-cawangan MIC akan dibahagikan antara kumpulan Subramaniam dan Palanivel.
Bercakap kepada pemberita, Timbalan Presiden MIC, SK Devamany berkata, kedua-dua kem telah sampai ke tahap untuk menyelesaikan krisis dalaman yang berlarutan.
Difahamkan, Setiausaha Agung bagi kem Palanivel, AK Ramalingam akan menguruskan 1,800 cawangan yang menyokong bekas presiden.
Manakala A Sakthivel akan mengendalikan lebih 2,600 cawangan yang menyokong Subramaniam.
"Kami nak kesemua 1,800 cawangan tersebut untuk balik ke MIC. Bagi tujuan itu kami sedia bekerjasama dengan pihak Palanivel," kata Devamany.
Sementara itu, Ketua Penerangan untuk kem Palanivel, L Siva Subramaniam mahu keahlian lima anggota MIC dan ketua cawangan yang telah dipecat dikembalikan tanpa syarat.
Jika tidak, Siva menggesa kesemua ketua cawangan memboikot dengan tidak menyertai pemilihan yang akan diadakan Sabtu ini.
“Ambil lima orang ahli yang telah dipecat dari MIC tanpa syarat. Minta mereka kembalikan semula cawangan kerana sebelum ini mereka melantik orang lain," ujarnya.

