Perkampungan Cina dapat peruntukan RM268 juta
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata kementeriannya telah memperuntukkan RM268.16 juta kepada 452 perkampungan Cina dalam tempoh lima tahun dari tahun 2000-2004.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata kementeriannya telah memperuntukkan RM268.16 juta kepada 452 perkampungan Cina dalam tempoh lima tahun dari tahun 2000-2004.
Akhbar Nanyang Siang Pau dalam laporannya di muka A3 (Nasional), memetik Ong sebagai berkata berkata, jumlah ini jauh melebihi jumlah peruntukan bagi tempoh 25 tahun sebelum tahun 2000.
"Peruntukan bagi perkampungan Cina dalam setiap lima tahun di bawah Rancangan Malaysia sebelum ini adalah RM20 juta atau RM30 juta, tetapi peruntukan bagi tahun 2000-2004 adalah RM 268.16 juta," ujarnya.
Menurut Presiden MCA itu lagi, kementeriannya memberikan peruntukan tersebut kepada perkampungan Cina menerusi pelbagai sumber.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga menyediakan peruntukan kepada tiga perkampungan Cina di bawah pengawasannya.
Tunku Abdul Aziz saran pinda OSA
Akhbar Oriental Daily News pula menyiarkan di muka A7 (Nasional) kenyataan Pengerusi Pertubuhan Transparensi Antarabangsa (cawangan Malaysia), Tunku Abdul Aziz bahawa pemantauan kegiatan rasuah akan lebih berkesan jika operasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) bebas sepenuhnya serta Akta Rahsia Rasmi (OSA) dipinda.
Katanya, salah sebuah badan anti-rasuah yang efektif di dunia Biro Pencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong juga beroperasi secara bebas dan tidak dipengaruhi agensi kerajaan yang lain. Oleh itu, Malaysia patut mempelajari pengalaman mencegah rasuah Hong Kong.
"Walaupun Perdana Menteri bertekad untuk membasmi kegiatan rasuah, tetapi sekiranya BPR tidak dibenar beroperasi bebas, hasil pencegahan rasuah adalah terhad," ujarnya dalam sidang akhbar menjelang tamat tempohnya sebagai pengerusi pertubuhan tersebut.
Beliau berpendapat BPR seharusnya menyelesaikan kes rasuah dalam negeri sebelum menghulurkan bantuan kepada badan pencegah rasuah luar negara.
Abdul Aziz juga menegaskan penubuhan Pelan Biru Kerajaan Amanah Negara dan Kolej Amanah hanya mengatasi masalah di permukaan sahaja, tetapi tidak menyelesaikan masalah rasuah secara keseluruhannya.
"Malaysia berkemampuan menubuhkan pelbagai pertubuhan pencegah rasuah dan melaksanakan pelbagai projek, tetapi negara kekurangan orang yang mempunyai nilai kejujuran dan amanah untuk menjalankan tugas pencegahan rasuah," katanya.
Kerajaan ingin bina 'Penjara Industri'
Akhbar Sin Chew Daily pula menyiarkan di muka 11 (Dalam Negeri) kenyataan Setiausaha Agung Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Abdul Aziz mengenai rancangan kerajaan untuk membina 'Penjara Industri' bagi memberikan peluang kepada banduan meningkatkan keyakinan diri dan menguasai kemahiran tertentu.
Dalam pertemuannya dengan wakil-wakil agensi kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan, beliau berkata, Jabatan Penjara mampu membekalkan sumber manusia yang diperlukan pelbagai sektor dalam negeri dan pada masa yang sama, mengurangkan penggantungan negara kepada pekerja asing.
Menurutnya, peranan Jabatan Penjara bukan hanya menjalankan hukuman ke atas banduan, tetapi juga untuk memberi peluang kepada mereka memulih diri supaya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat apabila keluar dari penjara nanti.
"Masyarakat tidak harus prejudis terhadap banduan kerana jika seseorang melakukan kesalahan, tidak bermakna dia bersalah selama-lamanya. Kita patut memberikan peluang kepada banduan untuk berubah dan kembali bekerja," ujarnya.
Katanya, purata pertambahan bilangan banduan setiap tahun ialah sebanyak 40,000 orang dan sekiranya sumber manusia ini digunakan secara berkesan, negara akan mendapat manfaat.
Contohnya, kata beliau, penjara Singapura telah membina pusat dobi yang besar dan semua pekerjanya adalah terdiri daripada banduan penjara. Pusat dobi itu juga menerima kepercayaan sesetengah hotel.
Menurutnya, Jabatan Penjara telahpun mengemukakan cadangan projek pembinaan penjara industri kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Kementerian tersebut telah bersetuju dan sedang menunggu kelulusan Kabinet.
Katanya, memandangkan ruang penjara sedia ada terlalu kecil, maka tapak baru akan dipilih untuk membina penjara industri tersebut.

