Prof Shad: Mahkamah tidak harus masuk campur dalam kes murtad
Mahkamah tidak harus membabitkan diri dalam kes-kes murtad bagi menepati semangat dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shad Faruqi.
Mahkamah tidak harus membabitkan diri dalam kes-kes murtad bagi menepati semangat dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shad Faruqi.
Menurutnya, perundangan negeri pada tahun 1970-an memberi kuasa kepada pendaftar untuk merekodkan jumlah mereka yang memeluk Islam serta mereka yang meninggalkan agama tersebut. Ini menunjukkan ia mengiktiraf tindakan orang Islam yang meninggalkan agama tersebut.
Bagaimanapun, kata Shad, kini terdapat pihak-pihak yang menggesa supaya dihukum mereka yang menjadi murtad.
"Saya fikir bidang perundangan perlu bijaksana dan tidak campurtangan dalam hal tersebut, sepertimana yang dilakukannya selama ini. Sejak hampir 40 tahun, ia berjalan dengan baik.
"Tindakan tidak campurtangan ini menepati semangat Perlembagaan," katanya dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini.
Shad menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang ahli akademik di sebuah seminar minggu lalu bahawa perlembagaan memperuntukkan tindakan terhadap orang Islam yang mahu mendapatkan perintah mahkamah untuk keluar dari Islam.
Menurut pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Abdul Aziz Bari (foto) berkata, kebebasan beragama sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 11, disokong oleh Perkara 3(1), yang memberi status istimewa kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dan oleh itu hendaklah diterjemahkan melalui kayu ukur Islam bagi kes-kes yang membabitkan orang Islam.
Hak kebebasan peribadi
Mengulas perkara tersebut, Shah berkata Perkara 3(1) mengamanahkan negeri untuk membina masjid, menyebarkan pendidikan Islam, menyebarkan Islam secara umum sebagai satu agama, kuasa moral, sosial dan ekonomi.
"Perkara 3(1) bermaksud membenarkan penggunaan wang pembayar cukai untuk tujuan dan menyebarkan agama Islam. Di Amerika Syarikat, negara itu tidak dibenarkan berbuat demikian. Perkara 3 di Malaysia adalah untuk menghapuskan pemisahan gereja-negara (church-state separation)," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, Perkara (3(1) tidak menandakan pemansuhan hak-hak asasi yang terkandung dalam Perkara 5-13 yang meliputi kebebasan untuk perpersatuan.
"Terdapat soal hak kebebasan peribadi dalam Perkara 5. Terdapat kebebasan untuk berpersatuan dalam Perkara 10. Itu juga bermakna, jangan lupa, kebebasan untuk tidak berpersatuan. Terdapat juga kebebasan bersuara dalam Perkara 10.
"Terdapat juga dimensi Perkara 12(3) yang menyatakan tiada seorangpun boleh dipaksa untuk menerima arahan atau mengambil bahagian dalam sebarang acara atau pelakuan agama selain daripada yang mereka anuti.
"Saya tidak fikir Perkara 3(1) bermaksud untuk menyekat hak-hak asasi atau menenggelamkan Perkara 5-13. Perkara 3(1) tidak bermaksud untuk menenggelamkan keseluruhan bab mengenai hak kebebasan asasi," tegasnya.
Bagi mereka yang menggunakan Perkara 11(4) yang menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam, Shad menjelaskan, peruntukan itu tidak menyatakan apa-apa mengenai mereka yang ingin belajar dan menerima agama lain dengan kerelaan hatinya sendiri.
"Perkara 11(4) ialah mengenai mereka yang menemui orang lain untuk berdakwah. Ia tidak menyebut mengenai seseorang yang mempelajari dan mahu menerima kepercayaan yang lain," tambahnya.
Shad juga menyatakan pandangan penulis perundangan Andrew Harding, yang mengatakan Perkara 11(4) dimasukkan ke dalam Perlembagaan sebagai satu kompromi sewaktu tempoh 1956-57 untuk mensama-ratakan 'padang permainan' dalam amalan beragama.
Menurutnya lagi, orang Islam pada masa itu bimbang terhadap kuasa kewangan mubaligh Kristian di zaman penjajahan, kerana mereka datang bersama-sama peniaga dan tentera British ketika itu.
Katanya, itulah sebabnya mengapa Perkara 11(4) dimasukkan untuk melindungi orang Islam daripada pengaruh mubaligh British yang kukuh di segi kewangannya, lebih tersusun, dan mempunyai banyak kemudahan.
"Pada masa itu, ianya bukanlah 'padang yang sama rata' (untuk orang Islam)," tambahnya.
Keagungan Perlembagaan
Shad juga berkata, selagi Perkara 3(4) and 4(1), yang berkaitan dengan integriti dan keagungan perlembagaan, masih berkuatkuasa, undang-undang lain tidak boleh diterjemahkan mengikut Islam melalui Perkara 3(1) sepertimana di sebuah negara Islam.
"Malaysia bukanlah sebuah negara Islam sepenuhnya dan tidak bermaksud untuk dijadikan sedemikian pada tahun 1957. Terdapat masalah dengan Perkara 3(4) yang tidak mengatakan apa-apa dalam Perkara 3 berhubung dengan Islam yang meminggirkan yang lainnya dalam perlembagaan. Dalam lain perkataan, tiada dalam Perkara 3 yang mengatasi perkara-perkara lain dalam perlembagaan.
"Selagi terdapat Perkara (4(1) yang menyatakan bahawa perlembagaan ini adalah undang-undang agung persekutuan, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara Islam sepenuhnya," tambahnya.
Bagaimanapun, Shad berkata ini tidak bermakna Malaysia sebuah negara sekular atau bukan Islam.
"Saya tidak suka menyatakan demikian. Malaysia lebih merupakan sebuah negara 'hibrid'. Terdapat pelaksanaan ketat undang-undang Islam (tetapi hanya) terhadap orang Islam," jelasnya.
Hujah yang paling menyakinkan, kata Shad, berkaitan ialah, Senarai 2 dalam Jadual 9 dalam perlembagan menyediakan satu perundangan terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap ajaran Islam.
Katanya, aspek keagamaan telah termasuk dalam Perkara 11 mengenai kebebasan beragama, undang-undang negeri tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara berhubung dengan pertukaran agama seseorang individu.
"Jadual 9, Senarai 2 tidak memberi kuasa 'cek kosong'. Ianya adalah kuasa lebihan dalam bidang-bidang di mana undang-undang tidak menyatakan apa-apa mengenainya. Di mana undang-undang persekutuan tidak melitupinya, undang-undang Islam boleh dilaksanakan terhadap orang Islam sahaha," tambahnya.

