Wanita cedera terjun kereta selamat diri dari diculik
Seorang kerani wanita cedera di kaki kiri ketika menyelamatkan diri daripada diculik dengan terjun dari kereta dipandunya dalam kejadian di Perai malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 31 tahun nekad terjun daripada Perodua Viva dipandunya selepas diugut dengan pisau oleh seorang lelaki yang tiba-tiba masuk ke dalam keretanya, semasa berada di tempat parkir sebuah pusat membeli-belah di Seberang Jaya di Butterworth.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Baharom Abu berkata lelaki terbabit kemudian mengarahkan mangsa memandu menghala ke Perai.
"Mangsa mengikut arahan lelaki berkenaan kerana bimbang dicederakan dan sebaik sampai di hadapan sebuah kilang di Perai, dia nekad terjun daripada kereta dipandunya itu.
"Mangsa kemudian meminta tolong daripada seorang pemandu bas di kawasan itu, manakala keretanya dilarikan lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Baharom berkata mangsa cedera di kaki kiri dan mengalami kerugian lebih RM1,000 selepas wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan lesen memandu yang berada dalam kereta dilarikan lelaki terbabit.
Katanya mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Butterworth.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata usaha mengesan lelaki berusia lingkungan 30-an yang terlibat dalam kes berkenaan sedang giat dijalankan.
- Bernama

