Gegaran di Tawau, gempa bumi 6.2 di Kalimantan Utara
Gegaran dirasai di Tawau, Sabah awal pagi ini ekoran gempa bumi kuat melanda Tarakan di Kalimantan Utara, Indonesia.
Gempa bumi yang berukuran 6.2 pada skala Richter berlaku jam 2.47 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengkategorikannya sebagai satu gempa bumi yang kuat.
Menurut kenyataan jabatan itu, pusat gempa bumi itu ialah 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33km ke utara Tarakan dan 96km barat daya Tawau.
Belum terdapat sebarang laporan mengenai kecederaan setakat ini, tetapi laman Facebook untuk penduduk Tawau mula memuatkan gambar-gambar barangan rumah yang bertaburan ekoran kejadian gempa bumi itu.
Terdapat juga sekurang-kurangnya satu gambar yang didakwa penduduk ke luar ke jalan selepas merasai gegaran itu.
Ketika dihubungi, seorang Tawau penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Malaysiakini bahawa gegaran itu berlaku selama beberapa saat.
"Pagi ini, apabila berlaku gegaran, saya tidak dapat bergerak. Gegarannya agak kuat, saya duduk atas katil apabila gegaran berlaku," katanya.
Penduduk yang berusia 26 tahun itu menjelaskan, apabila gegaran berlaku ketika dia berada di atas katil, dia merasa pening dan dia tidak dapat bergerak.
Sementara itu, Bernama melaporkan, gempa bumi itu turut dirasai di beberapa daerah di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.
Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33km ke utara Tarakan dan 96km barat daya Tawau.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Ag Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat kecemasan itu pada 2.51 pagi.
"Sebaik mendapat maklumat, anggota kami terus mengadakan pemantauan di sekitar bandar Tawau serta mendapat laporan mengenai keretakan bangunan (Projek Perumahan Rakyat Sri Apas) Batu 8, Jalan Apas," katanya dalam kenyataan di Tawau hari ini.
Katanya, setelah membuat pemeriksaan, anggota bomba mendapati tiada keretakan serius sebaliknya hanya tampalan semen terkupas sedikit pada satu daripada bahagian di bangunan itu.
"Gegaran kuat juga dirasai di kuarters bomba menyebabkan kami terpaksa membunyikan siren kecemasan dan membuat pengumuman supaya semua penghuni mengosongkan bangunan," katanya.
Seorang suri rumah yang enggan namanya disiarkan berkata ketika kejadian dia baru sahaja mahu melelapkan mata dan gegaran itu menakutkan mereka sekeluarga.
"Ketika berbaring kami merasa seolah-olah dalam perahu dihayun ombak. Barang-barang dalam bilik seperti almari baju serta baju yang tergantung semuanya bergoyang," katanya.
Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Semporna, Nurdin Ajirul pula berkata dia terbangun ketika merasa rumahnya bergoyang.
"Saya ingat anak terlanggar pintu bilik. Saya juga hairan mengapa piring (pinggan) dalam almari berlaga antara satu sama lain dan berbunyi. Anak-anak saya ketakutan," katanya.
Sementara itu, Mukhtar Alwi yang sedang melawat anggota keluarganya di Sungai Pancang (Pulau Sebatik) Indonesia berkata masyarakat di kampung itu turut menyedari gempa berkenaan.
"Kami rasa seperti menaiki bot yang sedang mengharungi ombak di laut namun tiada rumah yang rosak akibat gempa itu (di sini)," katanya.
Pada 7 Jun 2013 gempa bumi sederhana berukuran 4.9 pada skala Richter yang berkedudukan 31 km di barat laut Tarakan dan 118 km barat daya Tawau berlaku pada 3.23 pagi.

