Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menolak penggunaan Akta Hasutan 1948 untuk menahan aktivis kontroversi Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju.

Pengarah eksekutifnya Eric Paulsen berkata Ali – yang dicekup susulan isu himpunan memboikot peniaga Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur – sepatutnya tidak disiasat bawah akta itu.

“Pendakwaan wajar sepatutnya bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan – kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“(Akta) Hasutan sepatutnya dimansuhkan,” katanya dalam tweet hari ini.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini , Paulsen berkata Ali sepatutnya disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan berbanding Akta Hasutan 1948 yang "ketinggalan zaman".

Kata Paulsen melalui Seksyen 505 itu pendakwa perlu menunjukkan kepada mahkamah niat di sebalik kesalahan yang didakwa, dan ia perlu diyakini menyebabkan ketakutan orang awam.

Ia juga, kata Paulsen, memberi peluang kepada Ali menjelaskan di mahkamah mengenai alasan di sebalik perbuatannya.

"Sebaliknya peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 begitu meluas dan pendakwa hanya perlu membuktikan tertuduh membuat kenyataan didakwa menghasut.

"Ia berbeza (mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan) jika Ali berkata sesuatu dengan sokongan sekumpulan orang berbanding individu biasa menulis kenyataan di Facebook dari kawasan luar bandar.

"Mengikut undang-undang hasutan sekarang, kedua-duanya bersalah jika mereka membuat kenyataan menghasut," katanya.

Ali Jumaat lalu memimpin demonstrasi memboikot peniaga di Kompleks Kota Raya Jumaat lalu selepas ada pembeli mendakwa dikurung dan dipaksa membeli telefon bimbit.

Tribunal pengguna memihak kepada pembeli dan mengarahkan peniaga memulangkan wang kepadanya.

Berlaku juga pergaduhan antara kumpulan yang tidak berpuas hati dengan peniaga di tempat itu, yang diimbangi mengulangi insiden di Plaza Low Yat Plaza Julai lalu.

Ali menafikan penglibatan dalam pergaduhan itu.

Bernama semalam melaporkan bahawa Ali ditahan polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan susulan kenyataan berbaur hasutan yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.