Warga PDRM diingat tidak viral maklumat keselamatan
Anggota polis diingatkan untuk tidak viralkan maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam melalui aplikasi media massa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata penyebaran maklumat sedemikian yang belum pasti kesahihannya menimbulkan perasan resah kepada masyarakat.
"Ia juga boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita.
"Kita hendaklah menjauhi budaya kerja yang boleh menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya di perhimpunan bulanan Polis Daerah Sandakan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua warga PDRM menjauhi budaya sumpama itu kerana ia jelas melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
"Sebagai agensi penguatkuasaan, kita harus sentiasa mempamerkan prestasi tugas serta disiplin yang mantap kerana masyarakat memerhatikan kita," katanya.
Beliau berkata harapan mereka adalah menjadi tanggungjawab anggota PDRM untuk sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan dengan baik dan efisien.
- Bernama

