Tweet anti-Islam: Ratu cantik Puerto Rico kena gantung

   

GLOBAL l Portal Daily Mail melaporkan peserta Miss Universe 2015, Miss Puerto Rico, Destiny Velez digantung serta merta selepas Pertandingan Miss Universe Amerika Syarikat mendapati beliau mengeluarkan kenyataan bersifat anti-Islam.

Menerusi laman twitter, Velez membidas pembikin filem Michael Moore yang menganjurkan protes di Menara Trump di New York sebagai bantahan terhadap kenyataan calon Presiden Amerika, Donald Trump yang berhasrat menghalang masyarakat Islam memasuki negara itu.

Moore membawa sepanduk 'We are all Muslim' di luar menara itu.

Dalam beberapa catatan di akaun Twitter miliknya yang kini sudah dipadamkan, Velez mendakwa umat Islam mempunyai agenda untuk mengganas.

Tulisnya lagi, apa yang dilakukan oleh umat Islam adalah hanya membekalkan minyak dan mengganas di Amerika Syarikat dan banyak tempat lain.

Velez kemudiannya meminta maaf dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Miss Puerto Rico kerana menyinggung perasaan orang ramai dengan kata-katanya itu dan mendakwa dirinya tidak berniat jahat.

Upacara penganugerahan ratu cantik Miss Universe sebelum ini berlangsung penuh dengan drama apabila pengacara majlis itu, Steve Harvey tersalah mengumumkan Ratu Colombia, Ariadna Gutierrez sebagai pemenang pertandingan kali ke-64 itu.

Namun, kemenangan itu tidak lama selepas Harvey memaklumkan dirinya tersilap mengumumkan keputusan yang sepatutnya dimenangi oleh Miss Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In