Apakah kerajaan Thai telah melakukan kesilapan dengan menyangka gambar perbarisan hari sukan sebuah sekolah agama sebagai tempat latihan anggota militan? Menurut akhbar The Nation , mungkin itulah yang telah berlaku.

Menurut akhbar tersebut hari ini, gambar-gambar itu, yang telah mencetuskan pergolakan diplomatik antara Malaysia dan Thailand, adalah gambar pelajar sebuah sekolah menengah agama di Pattani yang memakai 'pakaian pasukan berseragam'.

Kerajaan Thailand telah menggunakan gambar-gambar itu untuk mendakwa anggota pemisah Islam menjalani latihan di sekolah-sekolah agama di kawasan hutan di Kelantan. Ini menyebabkan kegemparan sehingga kerajaan Malaysia meminta Thai mengemukakan buktinya.

Menurut The Nation lagi, gambar kontroversi itu, yang disiarkan dalam sebuah akhbar harian, sebenarnya menunjukkan sekumpulan pelajar Islam Thai yang berpakaian seragam dan memakai tudung berpetak.

Katanya, pelajar terbabit juga sedang berdiri di kawasan terbuka dengan berlatarbelakangkan pokok-pokok getah, bukannya hutan tebal sepertimana yang didakwa oleh kerajaan Thai.

Menurutnya lagi, pelajar dalam gambar tersebut kelihatan seperti sedang bergambar beramai-ramai yang dirakamkan empat tahun lalu. Seorang daripada mereka memegang pistol mainan.

Akhbar itu juga memetik pengetua sebuah sekolah agama di Pattani Sekolah Agama Nithiwit Mahkohli Je-wae, yang mengesahkan gambar yang didakwa oleh kerajaan Thai itu. sebenarnya diambil oleh para pelajar yang menyertai perbarisan hari sukan.

Katanya, para pelajar diminta pakaian beragam, oleh itu, sesetengahnya memakai pakaian tentera yang dikenali sebagai pakaian seragam ror dor, Beliau juga memberi gambar-gambar lain kepada akhbar berkenaan, yang diambil di majlis yang sama.

Usul di Parlimen

Ketika mengulas perkembangan tersebut, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menyarankan supaya dibentangkan usul di Parlimen bagi menyatakan kekesalan terhadap kesilapan kerajaan Thai itu sehingga melempar tuduhan tersebut terhadap Malaysia.

"Jika laporan terbaru akhbar Thai itu betul, maka Thaksin (Perdana Menteri Thaksin Shinawatra) dan kerajaannya telah melakukan satu kesilapan besar apabila membuat tuduhan sedemikian terhadap negara jirannya," katanya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya, satu kajian oleh Universiti Prince Songkla baru-baru ini mendedahkan bahawa sebahagian besar keganasan di wilayah selatan Thai berlaku lebih satu dekad lalu sejak Thaksin berkuasa pada tahun 2001.

Sebelum ini, berdasarkan laporan perisikannya, kerajaan Thai menuduh parti pembangkang di Malaysia, PAS bertanggungjawab mengapi-apikan keganasan di wilayah selatan negara itu.

Pegawai perisikan yang menyediakan laporan tersebut, mendakwa PAS telah menganjurkan satu seminar di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda parti itu, Salahuddin Ayub, timbalannya Idris Ahmad dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Riduan Mohd Noor.

Bagaimanapun, PAS menafikan seminar tersebut diadakan sepertimana dakwaan tersebut.