Astro tidak siarkan wawancara Anwar dengan Al-Jazeera?
Wawancara selama 90 minit bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan saluran berita Arab, Al-Jazeera, dikatakan tidak disiarkan oleh Astro penyedia televisyen satelit tempatan malam Rabu lalu.
Menurut wakil Al-Jazeera bagi Asia Tenggara, Sohaib Jasim, beliau menerima aduan bahawa wawancara melalui program "Bila Hudud" (Tanpa Sempadan) di saluran tersebut, tidak disiarkan di Malaysia.
"Ya, saya diberitahu ianya tidak disiarkan malam Rabu lalau. Tetapi hanya di Malaysia, kerana saya dapat menontonnya di Jakarta tanpa sebarang masalah," katanya kepada malaysiakini .
Menurutnya lagi, ini bukan kali pertama Astro memilih untuk tidak menyiarkan wawancara Al-Jazeera dengan Anwar.
Sohaib berkata, wawancara dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 6 Sept lalu juga tidak disiarkan oleh Astro.
"Saya telah mewawancara Anwar sebelumnya, tetapi itu pun tidak disiarkan oleh Astro. Saya tidak tahu siapa yang melakukannya dan mengapa," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang berminat untuk mengikuti wawancara tersebut boleh melayari lamanweb Al-Jazeera.
Slot siaran
September lalu, pelanggan Astro juga tidak berpeluang untuk mengikuti siaran ulangan wawancara Anwar dengan Lorraine Hahn melalui program Talk Asia di CNN.
Kerana Astro belum lagi membuat sebarang ulasan rasmi terhadap pertanyaan mengenai perkara tersebut, isu mengenai siaran ulangan itu masih menjadi satu misteri.
Ketika dihubungi kemudiannya, jurucakap Astro bagi Jabatan Al-Jazeera berkata program itu tidak dapat disiarkan kerana suapan siaran dari saluran tersebut berakhir pada jam 10 malam setiap hari.
"Slot siaran Al-Jazeera di Astro ialah 7 pagi-10 pagi, 12 tengahari-2petang, 5 petang-7 petang dan 9 malam-10 malam. Jika program itu disiarkan dalam jangkawaktu keempat-empat slot tersebut, maka ia tidak menjadi masalah, Kami tidak mempunyai masalah menyiarkan wawancara dengan (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Menurutnya, jika semua berjalan lancar, siaran ulangan wawancara Anwar sebelum ini, telah disiarkan pada jam 7.30 pagi, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ianya telah disiarkan.
Bagaimanapun, anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata rakan dan saudara maranya juga memberitahu yang siaran ulangan itu juga tidak disiarkan.
"Kami menunggu untuk menyaksikan siaran semula itu pada jam 7.30 pagi tetapi tidak ada pun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar kecewa
Sementara itu, pembantu Anwar dan juga peguam, Sankara Nair berkata bekas timbalan perdana menteri itu telah menyatakan rasa kecewanya kerana Astro tidak menyiarkan wawancara terbarunya yang disiarkan di seluruh dunia.
Menurutnya, Anwar berkata tindakan itu menunjukkan tahap kebebasan akhbar yang wujud di negara ini.
Dalam satu perkembangan berkaitan, Sankara berkata Anwar telah menemui Emir Qatar semalam di istananya di Doha.
"Dalam pertemuan tersebut, Emir telah menggalakkan Anwar supaya meneruskan dialog antara Islam dan Barat," katanya.