Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perayaan Krismas disambut meriah di seluruh negara dengan penganut agama Kristian mengadakan rumah terbuka dan amalan kunjung mengunjung yang menjadi tradisi di negara ini.

Gereja-gereja di sekitar ibu negara menjadi tumpuan penganut agama Kristian termasuk warganegara asing bagi upacara keagamaan sejak malam tadi.

Kemeriahan perayaan itu turut dirasai dengan jalan-jalan utama serta pusat beli-belah di bandaraya ini turut dihiasi dengan lampu berwarna-warni dan hiasan pokok Krismas.

Bagi kebanyakan keluarga beragama Kristian, malam tadi dan tengah hari ini merupakan masa untuk keluarga berhimpun dan makan bersama setelah bersembahyang di gereja.

Cuaca cerah pada sebelah pagi telah menceriakan suasana sambutan perayaan Krismas, dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramalkan berlaku pada sebelah petang dan malam hari ini.

Di KUALA LUMPUR, jalan-jalan utama lengang berikutan ramai warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung atau keluar berlibur sempena cuti panjang selama empat hari bermula semalam dengan sambutan Maulidur Rasul diikuti dengan cuti umum hari ini sempena Krismas dan disambung dengan cuti hujung minggu, Sabtu dan Ahad.

Sementara pusat beli-belah dan tempat-tempat tarikan pelancong turut dibanjiri bukan sahaja oleh rakyat tempatan tetapi juga warga asing terutama mereka yang bekerja di sini.

Sementara itu di SARAWAK, beberapa gereja di sekitar bandar raya Kuching antaranya St Joseph's Cathedral dan St Thomas' Cathedral di Jalan Tun Abang Haji Openg menjadi tumpuan penganut agama Kristian sejak awal pagi untuk acara keagamaan.

Sepertimana tradisi sambutan perayaan di negara ini, rumah terbuka bersempena sambutan Hari Krismas turut diadakan.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Negeri Sarawak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie mengadakan rumah terbuka di pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (Redeems), Kampung Apar di Bau, kira-kira 30 kilometer dari Kuching.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri turut menghadiri beberapa majlis rumah terbuka Hari Krismas di Simunjan, kira-kira 110 kilometer dari Kuching.

Di JOHOR BAHARU, perayaan Krismas disambut sederhana dengan gereja di sekitar bandar raya ini menjadi tumpuan para penganut Kristian sejak pagi untuk upacara keagamaan.

Antara gereja yang menjadi tumpuan ialah Holy Light dan Immaculate Conception di pusat bandar raya serta The Cathedral of the Sacred Heart of Jesus dan Presbyterian Tebrau di Taman Sri Tebrau.

Orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan mengunjungi tempat-tempat menarik bersempena cuti Hari Krismas seperti kompleks beli-belah dan beberapa taman tema di bandar raya ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS