Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP Perak marah KJ sekat atlet Israel
Diterbitkan:  Dec 26, 2015 7:28 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi, esok.

Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin ( gambar ) berkata, Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

"Sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong mengulas laporan menyebut pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan Yoav Omer dan Noy Drihan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf) itu.

Khairy dilaporkan memainkan peranan dalam penafian visa berdasarkan dasar diplomatik Putrajaya terhadap Israel.

Chong mendakwa, Malaysia sebelum ini telah membuat pengecualian berkaitan atas semangat kesukanan.

"Menafikan visa mana-mana atlet berdasarkan kewarganegaraan, agama, atau kepercayaan peribadi mereka adalah tindakan yang tidak boleh diterima.

"Lebih-lebih lagi kedua-dua atlet itu adalah juara bertahan. Menafikan visa bagi kemasukan mereka sama seperti menafikan hak untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

"Perkara ini tidak boleh diterima dalam mana-mana acara sukan," kata Chong.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia akan memboikot Sukan Olimpik sekiranya dianjurkan oleh Israel.

Selain visa dinafikan, The Malay Mail Online melaporkan bahawa Malaysia telah mengenakan beberapa sekatan ke atas peserta Israel itu.

Antaranya ialah sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol. Lagu kebangsaan Israel juga tidak akan dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas.

Lima puluh negara dilaporkan akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Belanda, Jerman dan Perancis.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS