Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar pada pukul 9 pagi ini namun dijangka meningkat pada 2 petang nanti.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd memberitahu Bernama , aliran trafik di kedua-dua arah utara dan selatan khususnya menuju ibu kota masih lagi terkawal.

Ini berikutan cuti panjang sempena sambutan Maulidur Rasul, Krismas dan cuti hujung minggu sejak Khamis lalu.

Sementara itu, jurucakap dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan tiada kesesakan dilaporkan berlaku di lebuh raya utama lain termasuk Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Sejak malam semalam, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan.

Ini terutamanya, aliran trafik dari arah utara di Simpang Pulai menuju ke Gopeng dan Sungkai ke Slim River.

"Manakala dari arah selatan aliran trafik bergerak perlahan di Senawang menuju ke Port Dickson," kata jurucakap dari LLM.