K’jaan bayar BR1M mulai 28 Januari - Najib
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mula diberikan secara berperingkat mulai 28 Januari tahun hadapan.
Dalam satu catatan di Facebook, hari ini, beliau menggesa orang ramai yang belum memohon atau ingin mengemas kini permohonan BR1M bagi 2016 diminta melakukannya segera.
“Permohonan BR1M 2016 akan ditutup 31 Disember ini. Sekiranya belum memohon atau mengemas kini, segera lakukan di https://ebr1m.hasil.gov.my/.
“Permohonan juga boleh berbuat demikian dengan mendapatkan borang seterusnya diisi dan kemudian dikembalikan di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau pusat khidmat hasil di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
“Insya-Allah, sekiranya permohonan lengkap dan anda layak, pembayaran BR1M akan mula diberikan secara berperingkat pada 28 Januari 2016 kelak,” katanya.
Mengikut Bajet 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, isi rumah pendapatan bawah RM3,000 layak menerima jumlah BR1M sebanyak RM1,000.
Bagi kategori isi rumah pendapatan bawah RM3,001 hingga RM4,000, mereka akan menerima sumbangan RM800.
Dalam pada itu, individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang pendapatan kurang RM2,000 juga layak menerima RM400.
Najib, pada pembentangan Bajet 2016 juga mengumumkan kategori baru bagi penerima e-Kasih yang berpendapatan bawah RM1,000 layak untuk terima BR1M sebanyak RM1,050.

