Penduduk Taman Rumpun Bahagia berhampiran Melaka Sentral menggesa pihak berkuasa negeri bertindak mengelak kejadian ribuan ikan yang kerap ditemui mati di Sungai Melaka dekat kawasan berkenaan.

Penduduk taman itu, Zainab Alias, 60, berkata keadaan tersebut tidak asing bagi penduduk di kawasan itu kerana ia berlaku sejak beberapa tahun ini.

Pesara guru besar itu yang telah menetap kira-kira 28 tahun di taman tersebut berkata kejadian itu mengundang bau busuk yang mengganggu keselesaan penduduk.

"Ini bukan perkara biasa... tahun ni sahaja sudah lima kali berlaku. Saya minta pihak berkuasa lakukan sesuatu untuk mengelak ia berulang tanpa penyelesaian.

"Kita tidak tahu punca kejadian ini. Adakah disebabkan pencemaran, dituba atau disebabkan faktor lain," katanya dalam tinjauan Bernama semalam.

Tinjauan mendapati ribuan bangkai ikan termasuk ikan talapia terapung di permukaan sungai berkenaan.

Kejadian itu dilaporkan dikesan petang kelmarin.

Pesara kerajaan Abd Rahim Hanipah, 61, berkata beliau menyedari kejadian itu ketika hendak melihat orang memancing dan menjala ikan kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Bekas anggota tentera, Mohd Nahar Abdullah, 69, pula berkata pihak berkuasa perlu memantau aktiviti memancing dan menjala ikan di sungai berkenaan oleh penduduk warga asing.

Beliau berkata aktiviti berkenaan juga dipercayai antara penyebab berlakunya kejadian ikan mati itu.

Sementara itu, anggota Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata kerajaan negeri akan menyiasat kejadian itu.

"Memang tidak dinafikan kejadian ini kerap berlaku dan siasatan awal mendapati tiada unsur keracunan atau sabotaj," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan menyiasat sama ada kilang yang beroperasi di situ melepaskan sisa buangan ke dalam sungai hingga mengakibatkan pencemaran.

- Bernama