'Tiada siapa bercakap bagi pihak Sirul, walau ibunya'
Mereka yang mendakwa bercakap bagi pihak bekas koperal dalam Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar Umar tidak boleh dipercayai, termasuk ibunya, kata peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin.
Menurutnya, hanya kenyataan bersumpah yang dibuat oleh Sirul Azhar adalah yang sah.
Katanya, beliau menyedari bahawa ibu Sirul Azhar, Piah Samat dan beberapa anggota media mendakwa bahawa bekas komando polis itu membuat pengakuan bahawa dirinya telah diarahkan untuk membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Tetapi melainkan dan sehingga ada kenyataan bersumpah yang dibuat, kita mendengar kenyataan daripada orang lain, tidak kira siapa. Ia boleh jadi ibu, bapa saudara, sepupu, anak atau sesiapa yang berkata, saya telah bercakap dengan beliau (Sirul Azhar).
“Jadi, bagaimana kita tentukan bahawa beliau (Sirul Azhar) yang berkata demikian. Bagaimana kita akan menentukan konteks?" katanya pada sidang akhbar.
Mahkamah Persekutuan pada Januari 2006 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengenakan hukuman gantung terhadap dua anggota UTK, termasuk Sirul susulan sabitan dengan pembunuhan Altantuya.
Sirul Azhar tidak hadir diri ke mahkamah menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan dilaporkan berada di Australia sejak Oktober lalu.
Kamarul Hisham pada sidang akhbar itu juga menafikan bahawa Sirul Azhar telah memberitahu media di Australia bahawa dia diberi arahan untuk melakukan pembunuhan itu dan ibunya berkata kepada Sydney Morning Herald bahawa "Sirul tidak melakukan pembunuhan itu sendiri."

