Ketika heboh isu anak kedua allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH), PAS Kelantan sendiri masih tiada maklumat berhubung perkara itu.

Malah, kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, beliau sendiri baru mendengar cakap-cakap berkaitan Nik Omar itu semalam.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu.

“Saya pun dengar daripada sumber-sumber sahaja dan ia berita itu pun baru semalam kita dengar,” kata timbalan menteri besar Kelantan itu dengan ringkas kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada beliau mahu mendapatkan pengesahan daripada salah seorang anak Nik Aziz yang juga ketua Pemuda PAS, Mohd Amar berkata beliau belum bertemu dengan Nik Abduh.

“Saya tak jumpa Nik Abduh.

“Tetapi dalam isu ini biarlah Nik Abduh selesaikan dengan adik-beradik beliau,” tegas Mohd Amar.

Dalam majlis makan malam di Petaling Jaya malam tadi, Pengarah Komunikasi AMANAH Kelantan Nordin Hussin mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai pengerusi panel syariah AMANAH Kelantan.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, Nordin bagaimanapun menafikan menyebut penyertaan Nik Omar ( gambar ) dalam AMANAH dan berkata mungkin wartawan tersalah dengar.

Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan AMANAH Kelantan yang ditemui mengesahkan Nik Omar telah menyertai mereka tetapi belum mahu hadir ke acara terbuka buat masa ini.

Nik Omar sendiri ketika dihubungi Malaysiakini masih enggan berterus-terang berkaitan status sebenar beliau.

AMANAH ditubuh dan digerakkan oleh bekas pemimpin-pemimpin kanan PAS yang ditolak oleh kumpulan proulama dalam muktamar tahun lalu.