Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lin Khay Kuala Sala di utara Kedah dilaporkan tidak menerima sebarang pendaftaran pelajar baru pada tahun ini.

Akhbar Oriental Daily News melaporkan di muka A8 (Nasional), sekolah Cina itu hanya mempunyai enam pelajar sahaja.

Antara enam pelajar terbabit, hanya dua orang sahaja pelajar keturunan Cina, manakala bakinya dari keturunan kaum lain dari keluarga yang sama.

Berdasarkan catatan pihak sekolah, SJK (C) Lin Khay tidak menerima pendaftaran pelajar baru pada tahun 1993, 1995, 1997 dan 1999.

Selain itu, laporan dari tahun 1990-2005 menunjukkan pendaftaran pelajar baru tahun satu SJK (C) Lin Khay tidak pernah melebihi lima orang pelajar.

Jumlah pelajar SJK (C) Lin Khay boleh dikatakan merosot setiap tahun. Mulai tahun 1993, bilangan pelajarnya tidak melebihi 15 orang, manakala dalam empat tahun kebelakangan ini, bilangan pelajarnya tidak melebihi 10 orang.

SJK (C) Lin Khay dibina pada tahun 1983. Ia adalah sekolah pra-peperangan dan perpindahan penduduk keturunan Cina dari situ, ke kawasan bandar, telah mengakibatkan penurunan drastik bilangan pelajarnya.

Ia adalah sebuah sekolah Cina bantuan penuh yang terletak di tapak sekolah seluas lima ekar.

Setiap tahun, Jabatan Pendidikan membekalkan peralatan dan sumber pengajaran untuk membantu pihak sekolah meningkatkan pengajaran dan pelajaran.

Bagaimanapun, perpindahan penduduk keturunan Cina di Kuala Sala menyebabkan bilangan pelajar baru di sekolah tersebut kekurangan.

Pada masa ini, sekolah tersebut mempunyai seorang guru besar dan dua guru yang dihantar oleh Jabatan Pendidikan.

Sesi persekolahan ditangguh

Manakala di muka yang sama, akhbar ini melaporkan berita bahawa 1,542 pelajar lima sekolah rendah di Kedah akan hanya kembali ke sekolah pada 16 Januari ini, iaitu selepas hari keputeraan Sultan Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azimi Daim berkata, empat sekolah terbabit kini dijadikan pusat penempatan mangsa bencana tsunami, manakala sebuah lagi tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana dipenuhi lumpur selepas bencana tersebut.

"Untuk sementara waktu, 1,542 pelajar yang terjejas akan ditempatkan belajar di 10 sekolah lain," ujarnya kepada pemberita di Kota Kuala Muda, Kedah.

Sekolah yang dijadikan pusat penempatan ialah Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda, Sekolah Kebangsaan Sulaiman di Kota Kuala Muda dan Sekolah Kebangsaan Bayas serta Sekolah Kebangsaan Kuala Triang di Langkawi.

Manakala Sekolah Kebangsaan Sri Kuala, Kota Kuala Muda dipenuhi dengan lumpur yang memerlukan lebih kurang dua minggu untuk dibersihkan.

Tiada penyakit berjangkit

Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah pencegahan, oleh itu, sehingga hari ini, tidak berlaku penyakit berjangkit di kawasan bencana tsunami di negara ini.

Akhbar Sin Chew Daily dalam laporannya di muka 8 (Gabungan berita) memetik Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Lee Kah Choon sebagai berkata Kementerian Kesihatan sejak awal-awal lagi, telah menasihatkan mangsa terbabit supaya menjaga kebersihan kawasan bagi mencegah penyakit berjangkit.

Dalam wawancara khas dengan Sin Chew Daily mengenai wabak penyakit taun di kawasan yang teruk dilanda bencana tsunami di India, beliau berkata kementeriannya telah menjalankan kerja-kerja pencegahan penyakit berjangkit selepas bencana tersebut berlaku.

"Kementerian Kesihatan telah mengedarkan risalah di kawasan bencana untuk menasihatkan orang awam supaya mementingkan kebersihan kawasan sekitar, terutamanya kebersihan makanan dan hanya meminum air yang dimasak," ujar Lee.