Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tegur balak hanyut dalam sungai Kelantan
Diterbitkan:  Jan 2, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Kejadian jambatan pecah dan roboh sehingga masyarakat pedalaman terputus hubungan disebabkan pembuangan sisa kayu balak ke dalam sungai, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Justeru itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri Kelantan supaya menguatkuasakan satu undang-undang khusus bagi menghalang pembalak membuang sisa kayu balak ke dalam sungai.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana selain menyusahkan masyarakat setempat akibat jambatan rosak, kerajaan juga perlu mengeluarkan peruntukan untuk membina semula jambatan yang runtuh.

"Kami mahu kerajaan negeri ambil tindakan supaya balak tak dibuang ke dalam sungai begitu sahaja, ini akan merosakkan jambatan yang dibina rendah sekaligus menyusahkan penduduk serta merugikan kerajaan," katanya selepas meninjau jambatan di Kampung Pemberian yang roboh dalam kejadian banjir sebelum ini, di Kuala Krai, hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi pembinaan jambatan kekal di kampung berkenaan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina jambatan sementara untuk memudahkan urusan penduduk Kampung Pemberian menyeberangi Sungai Lebir ke Kampung Manjor.

"Angkatan Tentera Malaysia menerusi 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) dan Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) yang berpangkalan di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas juga telah menyiapkan jambatan sementara jenis 'jetfloat' bagi kegunaan penduduk," katanya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membina Jambatan Pulau Setelu di Gua Musang yang roboh akibat dirempuh balak dalam kejadian banjir besar pada 2014.

Hadir sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong Datuk Ramzi Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

- Bernama

Lihat Komen
ADS