Akhirnya penduduk Kampung Keling dapat bantuan
Akhirnya penduduk Kampung Keling yang turut menjadi mangsa bencana tsunami yang melanda beberapa tempat di Pulau Pinang Ahad lalu, telah menerima bantuan kewangan dan bekalan makanan.
Kampung tersebut yang terletak di Tanjung Tokong, yang dilawati Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Khamis lalu, rosak teruk selepas dilanda bencana tersebut kira-kira jam 1 tengah hari berkenaan.
Sebelum ini, penduduk di situ berang dan mengadu tidak mendapat layanan sepatutnya selepas kampung mereka dilanda bencana tersebut. Mereka mendakwa telah 'dipulaukan' oleh pihak berkuasa, yang dikatakan menyifatkannya sebagai 'kampung gangster'.
Ketika dihubungi hari ini, seorang penduduk di situ, Mansor Hussain, berkata beliau telah menerima RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Saya menerima RM200 dari pejabat zakat beberapa hari lalu. Saya juga menerima bekalan makanan daripada pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan," katanya.
Mansor, yang kehilangan barangan elektrik dan hartabenda lain yang dianggarkan bernilai kira-kira RM8,000 berkata, bantuan yang diterimanya itu dapat menampung keperluan isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah.
Seorang lagi penduduk kampung tersebut, yang tidak mahu disebut namanya, berkata beliau kecewa kerana mangsa bencana tersebut tidak menerima perkhidmatan kaunseling bagi mengatasi trauma yang mereka hadapi selepas peristiwa tersebut.
"Ketua-ketua masyarakat patut menggerakkan bentuk-bentuk sokongan moral untuk kami," tambahnya.
Bantuan
Ketua Umno Bahagian Jalan Gajah, Azli Osman berkata, pakaian dan makanan sudah dikumpulkan di kampung-kampung terbabit dan kawasan persekitarannya sebagai sebahagian daripada usaha yang digerakkan sendiri oleh penduduk di situ.
"Kumpulan-kumpulan bantuan kemanusian juga turut membantu. Kami melakukan sedaya mungkin untuk mengagih-agihkan bantuan makanan seadil mungkin," katanya.
Penduduk kampung tersebut juga memuji usaha pantas serta bantuan yang mereka terima daripada Persatuan Buddhist Tzu Chi Merit Malaysia, sehari selepas dilanda bencana tsunami.
Kerajaan telah mengumumkan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit dalam tiga peringkat. Ini termasuk bantuan RM200 kepada mangsa yang cedera, RM500 kepada mangsa yang dipindahkan, dan RM1,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam, telah dilaporkan berkata, kerajaan akan menyalurkan RM2,000 bagi rumah yang rosak dan RM5,000 untuk rumah yang musnah.
Pemilik bot pula akan menerima RM1,000 bagi kerosakan pada bot kecil dan RM3,000 bagi bot besar.
Beratus-ratus orang menjadi mangsa bencana tsunami yang melanda kawasan pantai barat Malaysia selepas berlakunya gerak gempa di dasar laut pada ukuran 9.0 sekala Richter, di luar pantai Sumatra di Indonesia.
Sehingga ini, bencana tsunami telah meragut 68 nyawa di Malaysia dan mencederakan 299 mangsa lagi.
Jumlah korban bencana di Asia dan Afrika telah mencecah angka 155,000 orang. Negara paling teruk dilanda bencana tersebut ialah Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand.