Kerajaan memerlukan sedikit masa untuk membuat taksiran sebenar terhadap kerugian yang dialami oleh mangsa ombak besar tsunami bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil dan kepada mereka yang sepatutnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut laporan Bernama, Najib berkata beliau sedar orang ramai mempersoalkan mengapa wang yang dikumpul menerusi pelbagai tabung itu belum diagihkan kepada mangsa tragedi 26 Disember itu.

"Ada tanggapan bahawa ada banyak wang yang disumbangkan tetapi berlaku kelewatan, (orang ramai tertanya-tanya) mengapa kita tidak mengagih-agihkannya dan sebagainya.

"Wang itu akan diagih-agihkan tetapi kita perlu buat taksiran yang tepat mengenai kerugian sebenar," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM9.735 juta bagi pihak Tabung Bencana Alam Negara di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Najib berkata, taksiran akan dilakukan secepat tetapi memerlukan pengiraan yang tepat dilakukan dan kerana itu, prosesnya mungkin mengambil masa lebih daripada dua hingga tiga minggu.

Beliau berkata, taksiran perlu dilakukan memandangkan jumlah kerugian berbeza-beza antara satu keluarga dengan keluarga yang lain.

"Sebagai contoh, ada di kalangan mereka yang hilang terus rumah manakala yang lain hanya dimasuki selut. Jadi tidak adillah jika kita memberikan jumlah bantuan yang sama sedangkan kerosakannya berbeza," katanya.

Bantuan minggu ini

Bantuan kewangan yang akan dikeluarkan daripada Tabung Bencana Negara adalah bantuan bentuk ketiga yang akan diberikan kepada mangsa tsunami itu.

Menerusi bantuan peringkat pertama, keluarga yang dipindahkan menerima RM500 manakala bantuan kedua - dengan mangsa-mangsa menerima antara RM2,000 dan RM5,000 bagi kerosakan rumah dan antara RM1,000 dan RM3,000 bagi kerosakan bot -- akan bermula minggu ini.

Najib berkata beliau juga akan membincangkan dengan pihak yang berkaitan mengenai bantuan bentuk lain yang boleh diberikan kepada nelayan yang merupakan antara mangsa ombak besar akibat gempa bumi di Sumatera yang dilaporkan mengorbankan 144,000 orang setakat ini.

Mengenai tarikh kutipan sumbangan daripada orang ramai untuk tabung itu akan dihentikan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan oleh Kabinet Rabu ini.

"Mesti ada tarikh muktamad, mesti ada tempoh masa. Namun pada masa ini, semangat (untuk menderma) masih kuat. Kita tidak mahu bantutkan semangat itu," katanya.

Najib yang menjelaskan bahawa tabung itu hanya untuk mangsa-mangsa malapetaka di Malaysia, berkata mana-mana sumbangan di negara lain dibuat menerusi usaha lain.

Bagaimanpun, katanya, usaha untuk membangunkan semula infrastruktur seperti jalan dan jambatan yang rosak akan dilaksanakan menerusi peruntukan kerajaan.