Rasuah: Bekas Exco Negeri Sembilan dipenjara enam tahun
Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah enam tahun ke atas bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Waad Mansor kerana tiga kesalahan rasuah.
Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah enam tahun ke atas bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Waad Mansor kerana tiga kesalahan rasuah.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malek Ahmad yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Siti Norma Yaakob dan Datuk Alauddin Mohamed Sheriff membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwaraya Abdul Karim Abdul Jalil.
Menurut Bernama, pihak pendakwaraya mengemukakan rayuan kerana tidak berpuashati dengan hukuman denda berjumlah RM45,000 atau penjara 18 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Jun 2003 setelah mendapati Waad bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Waad, 48, daripada tiga pertuduhan pindaan melakukan rasuah dengan menggunakan kedudukan awamnya untuk faedah kewangannya.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap Waad dan menggantikan hukuman denda sebanyak RM15,000 dengan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.
Bagaimanapun, Waad diperintahkan menjalani hukuman penjara itu serentak mulai hari ini.
Waad dihukum mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama, Waad didakwa memutuskan permohonan Syarikat Teraju Nusantara Sdn Bhd (TNSB), untuk memiliki tanah kerajaan di Mukim Repah Daerah Tampin dibawa ke mesyuarat exco dengan syor untuk diluluskan.
Guna kedudukan
Permohonan syarikat itu melibatkan tanah seluas 20.146 hektar dan permit seluas 4 hektar secara pemberian hakmilik untuk perusahaan kuari dan Waad didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Tampin pada 21 Dis 1992.
Bagi pertuduhan kedua, Waad, sebagai ahli exco, didakwa menggunakan kedudukannya bagi faedah kewangannya dengan mengambil bahagian dalam mesyuarat exco untuk meluluskan pemberian pemilikan tanah seluas 28.4 hektar secara pajakan negeri selama 60 tahun untuk perusahaan kuari kepada syarikat TNSB di bilik mesyuarat exco kerajaan negeri pada 28 April 1993.
Bagi pertuduhan ketiga, Waad didakwa menggunakan kedudukannya untuk faedah kewangannya dengan mengambil bahagian dalam satu keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri bagi melanjutkan tempoh bayaran premium selama enam bulan lagi ke atas tanah yang diluluskan kepada TNSB.
Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan supaya RM45,000 dikembalikan kepada Waad jika dia sudah membayar denda yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan.
Di kandang tertuduh, Waad yang memakai sut warna kelabu kelihatan tenang mendengar keputusan sebulat suara mahkamah yang dibacakan oleh Hakim Alauddin. Bagaimanapun, kedua-dua isterinya yang hadir, kelihatan agak sugul.
Sejurus selepas prosiding mahkamah selesai, Waad dibawa ke lokap oleh anggota polis dan anggota keluarganya turut bergegas keluar dari mahkamah.
Dalam penghakiman setebal 32 muka surat itu, mahkamah berpendapat Mahkamah Rayuan gagal memberikan perhatian yang sewajarnya mengenai peranan dan penglibatan Waad dalam kes ini.
"Daripada kronologi kejadian, dapat dilihat bahawa keseluruhan prosesnya, iaitu daripada pembentukan Teraju Nusantara kepada pemberian kelulusan terhadap permohonannya untuk operasi kuari, telah dilakukan dalam masa yang amat singkat," katanya.
Ada perancangan
Hakim itu turut menarik perhatian bahawa syarikat itu adalah "syarikat RM3 dan dengan yang demikian itu para pengarahnya bukan terdiri daripada orang yang cenderung kepada perniagaan serta mempunyai kepakaran yang diperlukan dalam kerja-kerja kuari."
"Pada pandangan kami, kita harus melihat perbuatan responden (Waad) sejak mula penubuhan Teraju Nusantara hinggalah akhirnya ia dijual, untuk memahami adanya niat rasuah," katanya.
Beliau berkata kes ini tidak harus dibezakan dengan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kedua-duanya membabitkan salahguna kedudukan dan kuasa oleh anggota pentadbiran atau penjawat awam.
Hakim Alauddin berkata adalah jelas daripada fakta kes bahawa daripada peranannya dalam keseluruhan episod itu, kedua-dua Waad dan isterinya, Noraini Abdul Satar telah memperolehi faedah kewangan.
"Daripada urutan peristiwa yang berlaku, iaitu daripada penubuhan Teraju Nusantara, permohonannya dan kelulusan tanah yang tersebut bagi tujuan kuari dan akhirnya penjualan Teraju Nusantara, ia jelas satu perancangan yang telah difikirkan dengan rapi oleh Waad," katanya.
Hakim itu berkata terdapat bukti jelas wujudnya perancangan dan peranan Waad untuk melakukan perbuatan rasuah.
Beliau juga berkata Mahkamah Rayuan telah memberikan banyak penekanan kepada fakta bahawa masa depan kerjaya politik Waad telah musnah, kedudukan yang pernah disandangnya telah hilang dan tidak mungkin diperolehinya semula serta nama baiknya telah tercemar.
Menurutnya Waad sepatutnya telah memikirkan faktor-faktor itu terlebih dahulu sebelum dia melakukan perbuatan itu.
Hakim Alauddin berkata tujuan Ordinan berkenaan adalah untuk mengambil tindakan terhadap ahli politik dan penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan dan apa juga hukuman yang dikenakan kesannya adalah untuk mencegah mereka daripada menjalankan urusan awam dengan cara rasuah.
Katanya, mahkamah mempunyai pandangan bahawa dalam kes-kes yang melibatkan rasuah, hukuman penjara adalah hukuman yang sewajarnya.

