Najib ajak umat Islam bersatu, tak berbalah
Umat Islam harus bersatu dan mendukung usaha penyatuan dan tidak berbalah antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya mengamalkan kesederhanaan dalam segala tindak tanduk.
“Bersama-samalah juga kita mengamalkan konsep wasatiyyah kerana ia adalah konsep yang bersandarkan kepada sejarah Nabi Muhammad SAW dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar.
“Umat Islam haruslah bersatu dan mendukung usaha penyatuan dan tidak berbalah antara satu sama lain,” katanya menerusi laman blognya, www.najibrazak.com.
Disember lalu, semasa merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, Najib menawarkan hubungan kerjasama Umno bagi membentuk hubungan rapat dengan PAS dengan memetik ayat al-Quran tentang kepentingan perpaduan.
"Al-Quran dengan jelas menggariskan prinsip-prinsip perpaduan. Seperti ayat 103 surah ali-Imran menyatakan kita harus berpegang teguh kepada tali Allah," katanya.
Menurut Najib, ini bermakna bahawa ia bukan satu pilihan tetapi adalah wajib untuk semua umat Islam untuk mematuhinya.
Mengulas lawatan kerja tiga harinya ke Arab Saudi yang berakhir hari ini, katanya, hubungan dua hala yang baik antara Kuala Lumpur dan Riyadh membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama dalam sektor teras seperti ekonomi dan pendidikan.
Katanya, kerjasama dan hubungan baik itu membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat dalam pelbagai bidang dan perkara.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke Arab Saudi telah selesai dan saya ingin menzahirkan penghargaan saya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu dan memberi layanan baik kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan kami.
“Kerajaan Arab Saudi telah banyak memberi bantuan kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara termasuklah kemudahan visa, pemindahan kecemasan pelajar dan lain-lain,” katanya.
Menurutnya semasa di Arab Saudi, beliau berkesempatan untuk bertemu dan berbual mesra dengan pelajar Malaysia serta golongan profesional yang bekerja di negara itu.
“Ramai juga yang berada di sana dan saya mendoakan agar anda semua sentiasa dirahmati Allah SWT dan cemerlang dalam pendidikan dan bidang pekerjaan masing-masing,” katanya.

