Pemimpin NGO Islam Thai dakwa jadi sasaran seterusnya
Para pemimpin badan-badan Islam bukan kerajaan (NGO) di wilayah selatan Thai menjangka mereka akan menjadi sasaran seterusnya Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menerusi rancangannya untuk membendung pergolakan di wilayah selatan negara itu.
Para pemimpin badan-badan Islam bukan kerajaan (NGO) di wilayah selatan Thai menjangka mereka akan menjadi sasaran seterusnya Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menerusi rancangannya untuk membendung pergolakan di wilayah selatan negara itu.
Menurut mereka, selain bertindak terhadap pemimpin agama dan masyarakat yang menggesa supaya pembangunan ekonomi dibawa ke wilayah majoriti umat Islam di Pattani, Narathiwat dan Yala, Taksin turut bertindak terhadap Pertubuhan Barisan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) dan Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN) yang sudah lama tidak aktif.
Thaksin, kata mereka lagi, kini mengawasi pemimpin-pemimpin NGO sosial dan pendidikan seperti Persatuan Belia Islam Thailand (YMAT).
Malahan, tambah mereka, badan-badan kebajikan untuk melindungi anak yatim Islam juga tidak terlepas daripada diawaasi.
Menurut Naib Presiden YMAT, Abdul Aziz Mustafa, persatuannya sentiasa telus dalam mengendalikan aspek kewangannya dan urusannya dengan pertubuhan Islam yang lain.
Katanya, walaupun semua urusan persatuan itu dijalankan secara sah dan mengikut undang-undang, namun Thaksin nampaknya masih mengecap pertubuhan Islam dengan label pengganas dan bertindak terhadap mereka.
Menurut Abdul Aziz lagi, ini dapat dilihat dalam kejadian kehilangan seorang peguam hak asasi manusia terkemuka Somchai Laipachitr, yang juga bekas pemimpin YMAT.
Tiada seorangpun didakwa walaupun sehingga ini lima pegawai polis telah ditukar kerana kaitan mereka dengan kes kehilangan Somcahi, yang dipercayai telah dibunuh.
Wawasan Thaksin
"Kami hanya menunggu masanya sahaja. Lambat laun mereka akan datang mencari kami," katanya kepada malaysiakini sewaktu lawatan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) ke Yala baru-baru ini.
Menurut Abdul Aziz, sikap Thaksin yang enggan bertolak ansur dengan pertubuhan Islam, dan dasar kerasnya di wilayah selatan, adalah sebahagian daripada wawasanya di wilayah terbabit walaupun ia bertentangan dengan sensitiviti dan aspirasi masyarakat Melayu-Islam di situ.
"Bagaimana parti Thaksin boleh mewakili kami? Thai Rak Thai (Thai sayang Thai) adalah untuk orang keturunan Siam. Ianya mengenai orang Siam yang sayangkan orang Siam yang lain. Kami bukannya orang Siam," tambahnya.
Abdul Aziz berkata, suasana amat berbeza dengan pemerintahan kerajaan sebelum Thaksin pada 2001, yang bekerjasama rapat dengan YMAT untuk mempelajari kejayaan skim kredit-makro dan program pemulihan penagihan dadah yang dikendalikan oleh persatuan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, mahu melaksanakan agenda di wilayah selatan tanpa memperdulikan apa yang sebenarnya dikehendak oleh umat Islam di situ.
Sebagai contohnya, kata Abdul Aziz, ialah usaha Thaksin untuk mempromosi dan membangunkan satu rangkaian hiburan di Yala beberapa tahun lalu, siap dengan kelab tarian, bar sepertimana yang terdapat di bandar-bandar lain di Thailand.
Cadangannya, katanya, mendapat tentangan keras daripada pertubuhan Islam dan kemudiannya dipindahkan kawasan pinggiran daerah terbabit," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden YMAT, Nik Mohd Nasir Nik Abdullah pula memberi contoh tindakan Thaksin yang dianggap menghina usaha keagamaan dan pendidikan YMAT, dengan memberhentikan siaran harian program radio Islam, baru-baru ini.
"Sehingga tiga bulan lalu kami ke udara setiap hari dari jam 2 hingga 3 petang. Sekarangnya siarannya telah dilarang," tambahnya.
"Program itu kini digantikan dengan program yang banyak memaparkan proganda tentera. Antara jam 7.30 hingga jam 9 setiap malam, hanya ke udara propanda tentera, penuh dengan lagu-lagu bersemangat kebangsaan dan ketenteraan."
Bantuan asing
Sementara itu, Maryam Samoh, yang mengendalikan sebuah rumah penempatan bagi lebih 100 anak yatim di Pattani, berkata, beliau telah dipaksa jangan menerima anak-anak yatim dari keluarga yang terbabit dalam tragedi di Tak Bai dan di Masjid Krue Sek.
"Kami bagaimanapun menerima beberapa orang daripada mereka untuk tinggal di sini, tetapi tidak menghebohkannya. Kami terpaksa menolak permohonan ramai lagi, termasuk anak-anak yang bapa mereka terkorban di Tak Bai dan Masjid Krue Sek, kerana kami tidak mahu dianggap sebagai penyokong mereka atau berada di pihak sebelah sana," katanya.
Ketua Majlis Islam Wilayah Narathiwat Abdul Rahman Abdul Samad pula kesal dengan sikap syak wasangka pihak kerajaan terhadap sumbangan derma yang diterima dari luar Thailand, untuk membantu keluarga mangsa tragedi di Tak Bai dan Masjid Krue Sek.
Bagaimanapun, tegasnya, majlis tersebut telah diamanahkan dengan sumbangan tersebut untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukannya.
"Kami tahu pihak kerajaan bimbang dengan bantuan yang diterima dari luar Thailand. Ini bukankan sesuatu yang luar biasa...tetapi di pihak kami, kami telah diamanah untuk menerima sumbangan dan mengagih-agihkannya kepada mereka yang memerlukannya,' katanya.

