Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan Harapan dominasi DAP bukan ancaman Umno
Diterbitkan:  Jan 6, 2016 3:33 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata usaha Pakatan Harapan yang akan memeteraikan perjanjian bersama pada Sabtu ini sebagai pakatan pembangkang baru bukan satu ancaman.

Malah katanya, gabungan pembangkang yang membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan memberi sebarang impak kepada kekuatan Umno.

"Tidak ada apa, Pakatan Harapan seperti juga Pakatan Rakyat (sebelum ini) yang akhirnya berkecai kerana ideologi politik parti-parti gabungan tersebut tidak menjuruskan kepada kepentingan rakyat," katanya.

Beliau menyifatkan Pakatan Harapan sekadar episod ulangan daripada Pakatan Rakyat yang didominasikan oleh DAP untuk memecahbelahkan penyatuan politik orang Melayu.

"Yang jadi perkakas dan keldai politik daripada kerjasama itu ialah PKR dan AMANAH, yang akhirnya memberi keuntungan kepada DAP," katanya dalam kemas-kini di blog.

DAP, sebuah parti entiti majoriti Cina, sering dituduh cuba mencabar kedudukan orang Melayu dan Islam tetapi disangkal sekeras-kerasnya oleh pembangkang.

Pakatan Harapan adalah gabungan pembangkang ketiga yang muncul selepas era Reformasi berikutan pemecatan dan penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Dua gabungan sebelum ini tumbang kerana tiada persefahaman antara DAP yang berkiblatkan sekular dan PAS yang berpegang kepada Islam.

Pada tahun 2001, DAP menarik diri daripada gabungan longgar pertama yang dikenali sebagai Barisan Alternatif.

Sementara itu, Pakatan Rakyat yang mula menunjukkan prestasi membanggakan pada pilihan raya tahun 2008 dan pilihan raya umum 2013 berdepan dengan jalan buntu berikutan keputusan PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan.

DAP menuduh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang memungkiri tahaluf siyasi mereka dan mendakwanya bersekongkol dengan Umno.

Hadi dan penyokongnya, bagaimanapun, berhujah bahawa PAS tidak boleh mengabaikan perjuangan Islam yang menjadi tujuan penubuhannya.

AMANAH, parti serpihan PAS lahir akibat persengketaan itu manakala Umno pula kini dilihat cuba melamar PAS.

Lihat Komen
ADS