Pengusaha bauksit tetap raih untung, kata MB Pahang
Syarikat perlombongan bauksit di Kuantan akan dapat menikmati faedah daripada moratorium yang diumumkan kerajaan hari ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata mereka akan dapat untung kerana bekalan yang kurang akan meningkatkan harganya.
"Ini satu rahmat. Jika saya jadi mereka, saya akan nikmati moratorium itu," kata Adnan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengumumkan bahawa industri bauksit Kuantan akan kekal tetapi aktiviti perlombongan dihentikan sementara untuk kerja-kerja pembersihan kawasan itu.
Beliau juga mengumumkan bahawa permit eksport hanya akan diberikan kepada syarikat dan bukannya individu.
Adnan ( kanan ) berkata, tindakan itu akan mengurangkan bekalan dan oleh itu harga akan meningkat.
Beliau juga menjelaskan terdapat 22 pemegang AP yang sah untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit manakala jumlah pelombong haram tidak dapat dikenal pasti.
Sindrom penafian
Ditanya mengenai keresahan orang ramai berhubung pencemaran itu, beliau menasihatkan penduduk kawasan terlibat supaya bertenang dan kerajaan negeri serta Persekutuan sedang melaksanakan langkah membendung masalah itu.
"Kami tidak berada dalam sindrom penafian dan tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan kebajikan rakyat pada setiap masa, perlu melebihi manfaat lain termasuk kewangan," katanya.
Beliau berkata mekanisme pencegahan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah perlombongan haram yang berlaku di kawasan itu.
Adnan berkata pihaknya tidak teragak-agak meminta campur tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu bauksit, seperti dilakukan agensi itu di Cameron Highlands bagi mengatasi isu pertanian haram yang mencapai kejayaan.
Ditanya mengenai jumlah hasil royalti yang diperoleh kerajaan Pahang daripada pengeksportan bauksit, beliau berkata sebanyak RM46.7 juta berjaya dikutip pada 2015 berbanding RM2.4 juta pada tahun sebelumnya.

