PAS bersedia menghadapi Parti Amanah Negara (AMANAH) sekiranya parti itu meletakkan calon dan bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (foto) berkata PAS dengan jelas menolak sebarang kerjasama dengan parti serpihannya itu.

“Bukan soal kalah menang. Pendirian kita (ialah) tidak ada sebarang kerjasama dan perbincangan dengan AMANAH. Itu asas dia. Jadi kalau AMANAH buat keputusan nak bertanding di Kelantan, maka kita berdepan lah.

“Tiga penjuru ke empat penjuru ke, dan keputusan itu terserah lah. Kalau Tuhan takdir menang, menang lah, kalau kalah, nak buat macam mana,” kata beliau seperti di lapor Sinar Harian.

Sebelum ini Mohd Amar berkata pintu perbicangan antara PAS dan AMANAH sudah ditutup untuk rundingan.

Beliau berkata perbincangan itu tidak perlu diadakan kerana AMANAH pernah membuat perjanjian untuk tidak bertanding di Kelantan.

Sementara itu, katanya PAS sama sekali tidak akan bergabung dengan Umno tetapi mengulangi pendirian Majlis Syura Ulamaknya untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita tidak akan bergabung, istilah itu betul. Istilah bergabung, menyertai dan kerjasama itu tidak sama.

“Awak boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam sekalipun, contohnya kereta rosak tepi jalan, kita kerjasama menolak kereta.

"Itu tidak bermakna kita berkongsi keyakinan. Bagi kami apa yang dikeluarkan Majlis Syura itu sangat jelas, tiada lagi persoalan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS buat masa ini kekal sendiri dan hanya membuat hubungan politik dengan PKR.