GLOBAL Qatar menjadi negara terbaru yang menyokong keputusan Arab Saudi memutuskan hubungannya dengan Iran serta menarik balik dutanya ke Tehran sebagai tindak balas ke atas serangan kedutaan Arab Saudi minggu lalu.

Jordan, Djibouti dan Turki juga menyatakan kedudukan mereka yang pro-Arab Saudi semalam selepas serangan kedutaan Arab Saudi di Iran berikutan pemimpin Syiah terkenal akan dihukum bunuh oleh pemerintah Sunni Arab Saudi.

Presiden Turki Tayyip Erdogan berkata, pelaksanaan hukuman bunuh terhadap 47 orang lelaki atas tuduhan yang dikaitkan dengan keganasan di Arab Saudi merupakan "isu domestik", lapor Al Jazeera.

Salah seorang yang akan dihukum bunuh ialah ulama Syiah Sheikh Nimr al-Nimr, yang mana ia menimbulkan kemarahan pengikut mazhab tersebut di rantau itu.

"Mereka yang akan dihukum bunuh ialah pengikut Sunni dan mereka akan dihukum kerana dikaitkan dengan al-Qaeda. Salah seorang daripada mereka adalah pemimpin Syiah.

"Keputusan ini telah diambil sebelum ini dan Arab Saudi akan melaksanakannya. Ini keputusan mereka," kata Erdogan ketika berucap di Ankara.

Malah, Erdogan juga berkata, terdapat pihak yang masih kekal berdiam diri terhadap pembunuhan rakyat Syria akibat perang saudara tetapi marah tentang seorang individu yang berada di Arab Saudi, katanya yang merujuk kepada Iran walaupun beliau tidak menamakan mana-mana negara.

"Anda memberi sokongan anda (kepada rejim Syria) sama ada secara tersirat atau secara terbuka. Anda memberikan kewangan dan senjata untuk menyokong pembunuh (Presiden Bashar) Assad.

"Kedutaan Arab Saudi (di Iran) telah dibedil dengan pelancar roket. Kedutaan Iraq turut dirosakkan. Ini tidak boleh diterima dari segi hubungan antarabangsa," kata Erdogan.