DAP: PRU14 bukan soal kaum tapi kemarahan Melayu
Berikutan pilihan raya umum 2013, DAP muncul sebagai parti kedua yang paling berkuasa selepas Umno dengan meraih hampir 40 kerusi di Dewan Rakyat.
Sejak itu, serangan demi serangan dipergiatkan ke atas parti majoriti Cina itu dengan seteru melabelnya sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam.
Sambil mengulangi bahawa DAP tidak ada sebarang niat untuk merampas kuasa, pemimpin veterannya, Lim Kit Siang berkata pilihan raya umum akan datang bukan pertarungan di antara orang Melayu dan Cina untuk merebut kuasa politik.
Orang Melayu, katanya, tidak akan hilang kuasa politik itu.
Sambil menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Lim berkata, pakar strategi di Putrajaya cuba mengambarkan bahawa pilihan raya umum akan datang adalah perjuangan demi mempertahankan Melayu dan Islam.
"Mereka menyamakan survival Najib sebagai perdana menteri dengan survival orang Melayu dan Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun, Lim memberi jaminan bahawa jika Pakatan Harapan, gabungan pembangkang baru yang didakwa pengkritik dikuasai oleh DAP berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, mereka akan melindungi hak-hak semua kaum.
"Kerajaan persekutuan Pakatan Harapan akan bersaing dengan Umno dan BN untuk mencipta rekod yang lebih baik dalam mengekalkan ciri-ciri asas Perlembagaan Malaysia.
"Ia akan menjaga hak dan kepentingan semua rakyat, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli.
“Persoalan Melayu atau mana-mana bangsa akan hilang hak-hak politik, atau Melayu dan Islam di bawah ancaman tidak akan timbul.
"Ini kerana kerajaan persekutuan Pakatan Harapan tidak mahu menjadi kerajaan hanya untuk satu penggal tetapi terus mendapat mandat daripada pengundi pada pilihan raya berikutnya untuk mentadbir Malaysia,” kata Lim lagi.

