NOW: Tuduhan terhadap Institut Baitulmal serius
Dakwaan salahlaku dalam pengurusan kewangan di Institut Profesional Baitulmal (IPB) merupakan satu tuduhan serius, kata Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir.
Beliau merujuk dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) institut berkenaan, Dr Syed Omar Syed Agil yang kini dikatakan sedang membawa perkara itu ke mahkamah.
“Tuduhan yang dikemukakan oleh Dr Syed Omar melalui laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah serius termasuk menamakan individu-individu yang disyaki terlibat dengan penyelewengan IPB.
“Tuduhan ini wajar disiasat secara menyeluruh. Kertas siasatan yang dibuka membolehkan pihak berkuasa untuk menyiasat, mengumpulkan bahan-bahan bukti dan merekodkan kenyataan saksi-saksi yang berkaitan tanpa mengganggu proses mahkamah,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Syed Omar dilantik sebagai CEO pada September 2014 dan sejurus selepas itu mendakwa ada perkara tidak kena terhadap badan itu.
Susulan itu beliau membuat laporan kepada SPRM dan polis supaya siasatan dijalankan. Bagaimanapun, laporan itu membuatkannya tertakluk kepada siasatan dalaman dan penggantungan kerja.
Susulan itu, Syed Omar memfailkan saman bulan lalu dan permohonan injunksi bagi menghalang siasatan dalaman dilakukan terhadapnya.

