Kes perbicaraan terhadap aktivis Lena Hendry diteruskan hari ini, dengan peguamnya mencabar bahawa cakera padat (CD) yang dirampas semasa tayangan filem dua tahun lalu bukan dari filem berkenaan.

Lena didakwa kerana menayangkan dokumentari mengenai insiden penghapusan kaum Sri Lanka di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur tanpa mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia pada 8 Julai 2013.

Pegawai dari bahagian pengawalan filem Kementerian Dalam Negeri (KDN), pegawai imigresen dan polis menyerbu dewan ketika itu lalu menghentikan tayangan dan merampas satu cakera padat.

Peguam bela Lena, New Sin Yew semasa menyoalbalas saksi pendakwa, Norhafizad Abu Kassim yang merupakan pegawai KDN berkata, CD itu berbeza dengan filem yang ditayangkan dan tempoh masanya juga tidak sama.

Terdahulu ketika memberi keterangan, Norhafizad berkata dia memasuki dewan tayangan pada jam 8 malam sebagai penonton, tetapi meninggalkannya pada jam 9.27 malam.

New berkata ini menunjukkan tempoh masa filem itu melebihi satu jam tetapi filem dalam cakera padat yang dirampas itu cuma selama 55 minit.

"Kamu kata dewan masih gelap semasa kamu meninggalkan tempat itu, video dalam D11 (CD) hanya 55 minit, kamu masuk dewan kira-kira 8 malam dan meninggalkan dewan kira-kira 9 lebih dan filem masih ditayangkan, masa tidak match dengan panjang filem," katanya semasa sesi soal balas.

Ketika ditanya samada ada beliau setuju bahawa filem dalam cakera padat itu tidak sama dengan filem yang ditayangkan, Norhafizad menjawab tidak pasti

Filem yang didakwa ditayangkan oleh Lena ialah No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka .

Jika disabitkan bersalah, dia akan berdepan hukuman tiga tahun penjara.

Tindakan terhadap Lena itu mengundang bantahan 100 seniman, wartawan dan peguam, termasuk pemenang Grammy Angelique Kidjo dan pemenang Academy Orlando von Einsiedel.