Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimeterai pada bulan Februari, dengan atau tanpa penyertaan Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kami menjangka perjanjian itu dimeterai pada Februari dan kami akan membentangkannya di Dewan Rakyat pada 27 Januari dan Dewan Negara pada 28 Januari bagi pengundian," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan sesi pendengaran awam bersama usahawan kecil dan sederhana (PKS) di ibunegara hari ini.

Terdahulu, diumumkan New Zealand, satu dari 12 negara yang terlibat dalam TPPA, dijangka menjadi tuan rumah majlis menandatangani perjanjian utama itu.

Negara-negara TPPA membentuk hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.

Mustapa berkata tumpuan Malaysia tidak akan beralih dari ASEAN, Timur Tengah dan Eropah sekiranya Malaysia memutuskan untuk menyertai TPPA.

Sementara itu, katanya, kerajaan bersedia untuk berunding dengan komuniti PKS dan mendapatkan input mereka mengenai bagaimana untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka.

Beliau berkata Pelan Induk PKS 2020 sedia ada akan dipinda untuk mengikuti perkembangan TPPA.

"Selepas cuti Tahun Baru Cina, kami akan mengumpulkan PKS dan merangka program untuk mengukuhkan asas mereka," katanya.

Dalam sesi pendengaran awam itu, Mustapa berkata, TPPA akan diteruskan dengan atau tanpa penyertaan Malaysia dan perniagaan perlu menerima perubahan kerana perubahan akan menyediakan peluang perniagaan baru.

"Sebagai contoh, sektor telekomunikasi menjalani perubahan besar apabila telefon bimbit memasuki pasaran dan menyebabkan penurunan dalam penggunaan telefon talian tetap.

"Ia juga membawa perniagaan baharu seperti jualan tambah nilai prabayar dan pusat perkhidmatan telefon bimbit," katanya.

- Bernama