Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP: Imigresen ikut prosedur keluar pasport anak model
Diterbitkan:  Jan 8, 2016 4:25 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Pengeluaran pasport gantian bagi dua orang anak model dan bekas pelakon Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 30, adalah mengikut prosedur ditetapkan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata pasport antarabangsa yang dikeluarkan kepada Zahrafeena Abd. Zackery dan Zasharayna Abd. Zackery pada 26 November 2015 adalah berdasarkan laporan bapa kandung mereka bahawa pasport kedua-dua anaknya telah hilang semasa berpindah rumah.

Menurutnya, bapa kandung mereka Abd Zackery Ghouse Abd Ghafoor turut menyertakan dokumen lain yang diperlukan dalam proses permohonan itu termasuk laporan polis yang dibuat pada 17 November 2015 di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam tentang kehilangan itu.

"Setelah pasport baru dikeluarkan maka pasport lama telah dibatalkan di dalam sistem dan tidak boleh digunakan lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahnita dalam satu sidang media semalam menyatakan kekecewaannya terhadap Jabatan Imigresen yang mengeluarkan pasport antarabangsa baharu untuk kedua-dua anaknya itu sedangkan pasport asal mereka masih dalam tempoh sah.

Beliau mendakwa pasport baru untuk kedua-dua anaknya yang berusia sembilan dan tiga tahun itu dikeluarkan tanpa sebarang siasatan yang sempurna dan tanpa dokumen sokongan atau pasport asal yang sepatutnya menjadi prasyarat untuk permohonan baru atau permohonan pembaharuan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS