Hasil pendapatan kira-kira 400 petani di Parit Buntar dan Bagan Tiang musim ini turun sebanyak 30 peratus berikutan hujan sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Tiang dan Parit Buntar Abdullah Saleh berkata hujan menyebabkan sistem perparitan terjejas sehingga menyukarkan jentera penuai diturunkan ke sawah.

"Ini menyebabkan petani tidak dapat turun untuk menuai hasil padi mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Abdullah meminta kerajaan supaya dapat membina sistem perparitan yang sempurna bagi membolehkan air dalam sawah dapat dikeringkan dengan cepat," katanya ketika ditemui di Parit Buntar hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parit Buntar Datuk Abu Bakar Mat Ali berharap pihak berkenaan seperti pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran serta PPK dapat berunding bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Antara yang boleh diusahakan termasuk menyelaraskan jadual sistem pengairan yang baru," katanya.

- Bernama